Wanita perancang utama sindiket ganja diberkas

Antara ganja yang dirampas.
Antara ganja yang dirampas.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang wanita disyaki perancang utama aktiviti pengedaran dadah jenis ganja di sekitar ibu kota diberkas dalam satu operasi yang dilaksanakan oleh Polis Kontinjen Kuala Lumpur dan Polis Kontinjen Johor.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Shuhaily Mohd Zain berkata, wanita berusia 45 tahun yang juga ibu kepada dua orang anak itu diberkas di sebuah rumah di Nusajaya, Johor, Khamis lalu.

"Sebelum itu, polis turut menahan dua lelaki berusia 30 dan 40 tahun di tempat letak kereta di Jalan Cemur di sini, pada hari sama.

"Kita merampas ganja seberat 52 kilogram dianggarkan bernilai RM160,000 dalam sebuah kereta jenis Perodua Bezza selain merampas sebuah kereta jenis Honda HR-V dan wang tunai RM485," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Shuhaily berkata, sindiket pengedaran dadah itu dikesan bergerak aktif sejak sebulan lalu dan menjadikan Kuala Lumpur sebagai kawasan pengedaran dadah kepada pelanggan.

"Modus operandi sindiket ini adalah membuat penghantaran dadah kepada pelanggan dengan menggunakan kenderaan setelah mendapat pesanan.

"Dua lelaki yang ditahan itu bertindak sebagai penghantar manakala suspek wanita terbabit adalah perancang utama kumpulan ini dan menjadikan aktiviti pengedaran dadah sebagai punca pendapatan utama," katanya.

Menurutnya, kesemua suspek direman selama tujuh hari sehingga Jumaat ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Polis Kuala Lumpur berharap orang ramai boleh menyalurkan sebarang maklumat berkaitan dadah dengan menghubungi Hotline JSJN melalui aplikasi WhatsApp di talian 012-2087222 (24 jam)," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!