Zahid berjiwa besar jemput ahli dipecat datang PAU
SEREMBAN - Pelawaan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kepada bekas ahli UMNO yang dipecat untuk menghadiri Perhimpunan Agung UMNO (PAU) menunjukkan beliau seorang berjiwa besar.
Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Mustapha Nagoor berkata, ini kerana jemputan sebegitu tidak pernah dibuat sebelum ini dan ia seharusnya dilihat dari sudut positif.
"Sebelum ini, siapa pun ahli UMNO yang dipecat atau digantung tak dijemput pun untuk datang ke PAU. Tapi kali ini beliau sendiri jemput secara terbuka.
"Pandangan saya, presiden berjiwa besar dan menunjukkan keterbukaannya memanggil sesiapa saja, datanglah kalau rasa rindu kepada parti," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Ujarnya, kritikan yang timbul terhadap pelawaan itu kerana ia dipolemikkan pihak berkepentingan.
Terdahulu, Ahmad Zahid memaklumkan UMNO sentiasa membuka pintu kepada bekas ahlinya untuk menghadiri PAU walaupun bukan sebagai perwakilan dan mungkin boleh menjadi pemerhati di luar dewan ketika perhimpunan tersebut berlangsung.
Bagaimanapun kenyataan Timbalan Perdana Menteri itu dikritik bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang berkata, tiada keperluan untuk mempelawa bekas ahli UMNO yang dipecat untuk menghadiri PAU kerana ia tidak membantu dalam usaha memulihkan kedudukan parti ketika ini.
"Saya pasti orang ramai lebih rindu kepada UMNO yang asal. Tidak perlu pelawa ahli yang dibuang ke Perhimpunan Agung UMNO secara menyindir dan sengaja berseloroh.
"Ini hanya menggambarkan mentaliti dan pemikiran semasa kepimpinan UMNO, tidak membantu langsung usaha memulihkan kedudukan parti dalam memenangi hati ahli-ahli di akar umbi,” katanya
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!