LKAN 2021 penting tapi pembangkang tak nak bincang - Ahmad Maslan

Ahmad Maslan menerusi hantaran di Facebook menunjukkan keadaan Parlimen ketika perbahasan tersebut.
Ahmad Maslan menerusi hantaran di Facebook menunjukkan keadaan Parlimen ketika perbahasan tersebut.
A
A
A

SHAH ALAM - Tiada seorang daripada ahli Parlimen pembangkang yang membahaskan usul berhubung Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2021, sedangkan usul itu penting bagi tanggungjawab kewangan negara, kata Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Jelas Ahmad, pihaknya telah mendengar jawapan dan teguran mengenai perkara itu daripada pihak berautoriti.

“Saya telah mendengar jawapan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Kastam) dan Felcra Berhad (Felcra) berhubung teguran kepada mereka. Pembaikan kelemahan itu sedang dilakukan,” ujarnya dalam satu hantaran di Facebook pada Selasa.

Sidang Parlimen pada Selasa kecoh hampir sejam apabila pihak kerajaan dan pembangkang bertikam lidah mengenai kewajaran usul LKAN 2021 yang terkandung dalam Aturan Urusan Mesyuarat dan Usul-Usul.

Menurut Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, usul tersebut hakikatnya bercanggah dengan Perkara 107 (1) Perlembagaan Persekutuan.

Jelas beliau, ia tidak tidak pernah dibincangkan dalam mana-mana persidangan Dewan Rakyat.

Situasi tegang itu mendorong Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul mengambil alih persidangan daripada Timbalannya, Alice Lau Kiong Yieng.

Johari dalam keputusannya membenarkan LKAN 2021 dibahaskan selepas mempertimbangkan Peraturan 100 Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat, berkaitan kuasa Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Beliau berkata, perbahasan LKAN 2021 bertujuan memberi gambaran jelas kepada rakyat mengenai kesungguhan ahli Parlimen membincangkan masalah dihadapi orang ramai secara terbuka.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!