Anggota bomba parah kini stabil
IPOH - [DIKEMASKINI] Tiga anggota bomba yang parah selepas jentera dinaiki terbalik di KM25.6 Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli, pagi tadi dilaporkan stabil dan sudah sedarkan diri.
Mereka adalah Ahmad Suhaimi Ibrahim, 51, yang memandu jentera, Mohd Firdaus Mohd Sarif, 30, kedua-duanya mengalami patah kaki kiri serta Mohd Nizam Zakaria, 48, cedera di muka, patah gigi dan gusi.
Kesemua mereka telah menerima rawatan lanjut di Hospital Taiping. Kejadian sekitar jam 10.30 pagi itu berlaku ketika jentera membawa lima anggota berkenaan dalam perjalanan balik dari operasi memadam kebakaran lori di KM38.6 laluan sama.
Dua lagi anggota, Sirol Aflah Abu Hassan, 37, luka di bahagian kepala dan Mohamad Azizul Mohamad Ali, 21, cedera di kaki telah dirawat di Hospital Gerik.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Azmi Osman berkata, rawatan lanjut masih diperlukan bagi memastikan tiada kecederaan dalaman serius dialami.
"Semua anggota berada dalam keadaan baik, hanya jentera mengalami kerosakan teruk. Kita akan lakukan siasatan terperinci bagi mengetahui punca-punca yang membawa kepada nahas ini," katanya.
Menurutnya, sepanjang tempoh anggota menerima rawatan, pihaknya akan melakukan susun atur penugasan di Balai Bomba dan Penyelamat Gerik untuk memastikan kecukupan anggota berdepan kes-kes kecemasan.
"Kita akan atur strategi terbaik sama ada meminjam anggota dari balai-balai lain atau ubah pasukan kepada 24 jam bertugas, bergantung kepada keperluan," katanya.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Ismail Che Isa berkata, siasatan awal mendapati, jentera berkenaan cuba mengelak sekumpulan kera yang melintas jalan sebelum hilang kawalan.
"Laluan di tempat kejadian adalah selekoh dan sedikit menurun, pemandu dipercayai mengelak sekumpulan kera melintas jalan dari arah kanan ke kiri.
"Keadaan itu menyebabkan kenderaannya gagal dikawal sebelum terbabas dan terbalik," katanya. Kes disiasat dibawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!