Mat Sabu lantik dua pemimpin Amanah terajui MADA, KADA
PUTRAJAYA - Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu mengumumkan Datuk Dr Ismail Salleh sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA).
Menerusi kenyataan pada Selasa, Mohamad turut mengumumkan pelantikan Muhammad Husain sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA).
Jelas Mohamad, pelantikan kedua-dua pengerusi itu yang berkuat kuasa 15 Mei lalu telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.
"Pelantikan ini berdasarkan pengalaman luas mereka dalam bidang pentadbiran, dasar dan pembangunan masyarakat," katanya.
Justeru, beliau yakin dengan pengetahuan serta kredibiliti Ismail dan Muhammad dalam menggalas amanah menerajui kedua-kedua badan berkanun Persekutuan di bawah KPKM.
"Saya berharap tanggungjawab yang diberikan akan dijalankan dengan penuh integriti dan tata kelola baik selaras dengan aspirasi Malaysia Madani.
"Tahniah saya ucapkan kepada semua yang dilantik," katanya lagi.
Ismail merupakan Pengerusi Amanah Kedah manakala Muhammad adalah Pengerusi Amanah Kelantan.
Sebelum ini, Mohamad dikritik selepas mengumumkan pelantikan lima pengerusi baharu badan berkanun bawah kementeriannya berkuat kuasa pada 9 Mei lalu.
Mereka adalah bekas Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar yang dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir, Muhammad Faiz Fadzil sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).
Turut dilantik adalah Sheikh Umar Bagharib Ali sebagai Pengerusi Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM), Dr Azman Ismail sebagai Pengerusi Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) serta Aminuddin Zulkipli sebagai Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!