MBSJ serbu tiga lokasi rumah urut

Anggota penguat kuasa MBSJ menyita barang di salah satu premis rumah urut tanpa lesen pada Khamis.
Anggota penguat kuasa MBSJ menyita barang di salah satu premis rumah urut tanpa lesen pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) menyerbu tiga lokasi premis yang menjalankan aktiviti rumah urut tanpa lesen pada Khamis lalu.

Tiga lokasi itu ialah di Uptown The Mines, Seri Kembangan; Bandar Puchong Jaya dan di USJ Subang Jaya.

MBSJ dalam satu kenyataan memaklumkan, serbuan dijalankan Jabatan Penguatkuasaan dan Jabatan Perlesenan MBSJ selepas melakukan risikan serta siasatan.

"Hasil serbuan mendapati kesemua lokasi ini telah melakukan aktiviti tanpa lesen dan telah dikenakan tindakan penutupan premis serta peralatan perniagaan disita," kata MBSJ pada Selasa.

Menurut MBSJ, pemilik premis juga telah dikenakan tindakan perundangan dengan lima notis penutupan dikeluarkan di Uptown The Mines, Seri Kembangan, manakala masing-masing satu notis penutupan di Bandar Puchong Jaya dan di USJ Subang Jaya.

"Tindakan notis penutupan ini mengikut UUK 42 (1) Undang-Undang Kecil (UUK) Pusat Kecantikan dan Penjagaan Kesihatan (PK) MBSJ 2013," menurut kenyataan itu.

Jelas kenyataan itu, sebanyak tujuh sitaan dikeluarkan di bawah Seksyen 36 (1) UUK PK & PK MBSJ 2013.

"Satu notis pemberhentian aktiviti pusat hiburan keluarga di bawah Seksyen 6 (1) Enakmen Hiburan dan Tempat Tempat Hiburan Selangor 1995 (Pindaan 2001)," kata kenyataan itu.

Tegas kenyataan itu, MBSJ akan terus melaksanakan pemantauan berkala dari semasa ke semasa

"MBSJ tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak atau individu didapati melanggar peraturan dan syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa," kata kenyataan itu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!