Azizulhasni mahu cipta legasi

Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik Paris 2024, Datuk Hamidin Mohd Amin berbual dengan Azizulhasni (kiri) dan Shah Firdaus di Velodrom Nasional di Nilai pada Isnin. - Foto FB Azizulhasni Awang
Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik Paris 2024, Datuk Hamidin Mohd Amin berbual dengan Azizulhasni (kiri) dan Shah Firdaus di Velodrom Nasional di Nilai pada Isnin. - Foto FB Azizulhasni Awang
A
A
A

JAGUH berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang mahu mencipta legasi tersendiri apabila membuat penampilan pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2023 di Velodrom Nasional, Nilai dari 14 hingga 19 Jun ini.

Menurut Azizulhasni, dia bertekad menempa satu lagi kejayaan gemilang dalam penampilan terakhirnya di pentas ACC sebelum bersara sebaik temasya Sukan Olimpik Paris 2024 berakhir.

“Pada perlumbaan ACC kali ini, saya hanya mahu mencipta legasi. Sekarang dah ada 10 emas (ACC), jadi bagi saya ia lebih kepada mencipta legasi dalam perlumbaan terakhir ACC ini.

“Saya sentiasa enjoy kejohanan yang saya sertai, apatah lagi ACC adalah sebuah kejohanan besar. Saya mahu cabar diri sendiri dan juga mencabar beberapa pelumba bagus yang ada sekarang terutama dari China dan Jepun.

“Kali ini ACC akan berlangsung di tanah air kita sendiri, jadi sudah tentu saya mahu mempersembahkan perlumbaan terbaik untuk tontonan peminat yang hadir ke velodrom nanti.

“Saya amat harapkan ramai penyokong tempatan memenuhi ruang velodrom ini untuk memberikan sokongan kepada saya dan juga pelumba Malaysia yang lain,” katanya ketika ditemui pemberita di Velodrom Nasional pada Isnin.

Untuk rekod, Azizulhasni yang terkenal dengan gelaran The Pocket Rocketman sudah memenangi 10 pingat emas, 7 perak dan 6 gangsa sepanjang menyertai ACC sejak tahun 2007.

Pada edisi kali ini, Azizulhasni berkata, dia tidak mengambil bahagian dalam acara berpasukan, sebaliknya memberi fokus dalam saingan pecut individu dan keirin.

“Kali ini, saya akan berlumba dalam acara pecut individu dan keirin. Saya tidak beraksi dalam acara pecut berpasukan... saya juga tidak muda lagi, saya sudah lanjut usia.

“Jadi saya perlu jaga proses pemulihan... tidak seperti Shah (Muhammad Shah Firdaus Sahrom), dia masih muda, seperti saya suatu ketika dahulu, masih boleh masuk semua acara,” jelasnya secara berseloroh.

Azizulhasni kini berada dalam prestasi terbaik selepas menyambar empat pingat emas Piala Trek Antarabangsa Hong Kong 2023 yang berakhir minggu lalu.

Sebelum itu, Azizulhasni turut tampil cemerlang ketika membantu skuad Terengganu membolot dua pingat emas dalam acara pecut individu dan keirin Kejohanan Berbasikal Trek Kebangsaan 2023.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!