Bekas ADUN Telok Datok dijel 3 tahun, didenda

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telok Datok dijel tiga tahun dan didenda RM66,900 oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam selepas mengaku bersalah mengemukakan tuntutan palsu berjumlah RM33,380 kononnya bagi program kemasyarakatan, empat tahun lalu.

Hakim, Rozilah Salleh membuat keputusan itu terhadap Loh Chee Heng dan memerintah penjara tambahan setahun sekiranya gagal membayar denda tersebut, hari ini.

Dalam keputusannya, Rozilah berkata, rasuah adalah merupakan kes serius apatah lagi bagi seorang yang memikul dan amanah rakyat.

"Saya harap ia menjadi panduan dan tidak berulang lagi," katanya.

Terdahulu, Chee Heng, 41, mengaku sebagai ADUN Telok Datok ketika itu dengan niat memperdayakan telah menggunakan dokumen Kelulusan Pengeluaran Peruntukkan dan Kertas Kerja yang mengandungi butiran palsu iaitu permohonan pengeluaran peruntukkan RM13,380 bagi program Sambutan Hari Guru Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Datok sedangkan ia tidak dilaksanakan.

Kesalahan itu dilakukan di Pejabat Daerah Kuala Langat, Kuala Langat pada 8 Jun 2015.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM yang boleh dihukum dibawah Subseksyen 24 (2) Akta sama.

Peguam Keppy Wong yang mewakili bekas ADUN DAP itu memohon mahkamah mempertimbangkan hukuman terhadap anak guamnya.

Artikel Berkaitan:

"Anak guam saya hanya menjadi ADUN selama sepenggal bagi tempoh 2013 sehingga Mei 2018.

"Sejak PRU 14 yang lepas, Chee Heng bekerja sebagai pemandu grab dengan pendapatan yang tidak menentu," katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohammad Suffian Ja'afar hujahannya memohon hukuman berbentuk pencegahan dan pengajaran.

"Sebagai wakil rakyat yang dihormati dan disegani oleh masyarakat, tertuduh sepatutnya beri teladan yang baik," katanya.

Sementara itu, Chee Heng yang memakai baju T berwarna kuning berada di kandang pesalah merayu dikenakan hukuman ringan.

"Saya telah bertaubat dgn insaf. Ia sememangnya telah memberi pengajaran kepada saya," katanya.

Pada 24 Januari lalu, Chee Heng, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan tersebut.

Sebelum ini, DAP dilapor memecat Chee Heng berkuat kuasa 14 Mei 2016 kerana dakwaan penyelewengan peruntukan tersebut.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!