PRU15 umpama tsunami sokong Melayu

Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik
Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Jawatankuasa Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Pusat, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik menyifatkan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) umpama tsunami yang bergerak ke arah perpaduan menyokong Melayu.

Menurutnya, kerjasama di antara Bersatu dengan Pas telah mengukuhkan lagi hala tuju perjuangan.

“Apabila Bersatu bersama dengan parti Pas ciri-ciri kesamaan perjuangan dapat menjadikan ia sebagai satu landasan perjuangan yang kukuh.

“Saya yakin gelombang ini akan kekal hingga Pilihan Raya Negeri (PRN) kerana kita seolah-olah sudah menjadi seperti politik Amerika Syarikat kerana mempunyai dua gagasan itu Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Wacana Sinar Siri 400 yang bertajuk PRN: Siapa Patut Rakyat Pilih yang berlangsung di Kompleks Kumpulan Karangkraf di sini, pada Selasa.

Program itu dihoskan Ismail Adnan dan turut menampilkan tiga panelis lain iaitu Presiden Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Annuar Musa; Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin dan Ahli Majlis Pimpinan Pusat Parti Keadilan Rakyat, Nor Azrina Surip.

Pada masa sama, Abdul Rahim turut memaklumkan setiap parti politik perlu mempunyai ideologi dan hala tuju perjuangan.

Jelas beliau, pada masa kini rakyat yang mengundi akan melihat kepada ideologi terlebih dahulu.

“Apa yang boleh saya katakan ideologi yang ditampilkan oleh PN adalah lebih jelas kerana kita mahu ‘PN Best’ iaitu prihatin, stabil dan bersih.

“Namun ideologi sebelah sana (kerajaan) kita tidak nampak lagi termasuk UMNO, mungkin ia mahu selamat dan begitu juga dengan Parti Amanah Negara (Amanah),” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!