Isu kerjasama Kerajaan Perpaduan dijangka dominasi PAU 2023

Mohd Sharkar - Foto SINAR HARIAN/ Mohd Rafiq Redzuan Hamzah
Mohd Sharkar - Foto SINAR HARIAN/ Mohd Rafiq Redzuan Hamzah
A
A
A

SHAH ALAM - Isu kerjasama UMNO bersama parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan dijangka akan mendominasi Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023 yang bermula Rabu hingga Sabtu ini.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin bagaimanapun mengharapkan perwakilan negeri khususnya, memahami rasional kerjasama yang dijalankan.

“Kita jangka ramai perwakilan akan menyentuh tentang kerjasama dalam gabungan ini, namun saya nak betulkan bahawa setelah ketiadaan kesepakatan, maka Tuanku Yang di-Pertuan Agong telah menitahkan semua presiden parti menghadap untuk menubuhkan Kerajaan Perpaduan.

“Pada waktu itu, yang menolak hanya Perikatan Nasional (PN). Perkara ini kita (pimpinan parti) akan jelaskan lagi ke akar umbi.

“Apa yang penting sekarang ini adalah menguruskan persepsi iaitu pandangan negatif yang dimainkan pembangkang dan mereka yang tak berkenan dengan kerajaan yang ada,” katanya ketika ditemui selepas menjadi panelis dalam Wacana Sinar Siri 400 yang berlangsung di Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Selasa.

Tambah Mohd Sharkar, segala hujah yang dibawa oleh pembahas akan diteliti dan diterangkan kembali ke bawah.

Jelasnya, akar umbi perlu diberitahu bahawa kerjasama itu penting untuk kerajaan yang stabil, mantap dan boleh berfungsi dengan baik.

“Dalam UMNO, kita terbuka. PAU ini akan menjadi medan untuk ahli meluahkan pandangan dan kritikan.

“Bagi pemimpin pula, kita akan beritahu apa yang harus dan tidak harus dibuat kerana dalam perhimpunan ini, semua orang boleh menyuarakan pendapat,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!