Pertahan naratif sejarah Pulau Pinang-Kedah bukan jenayah - Pas

Laporan Sinar Harian pada Selasa
Laporan Sinar Harian pada Selasa
A
A
A

ALOR SETAR - Pas Kedah mendakwa tindakan mempertahankan naratif sejarah Pulau Pinang adalah milik Kedah bukan suatu perlakuan jenayah malah tidak ada merit untuk mengaplikasikannya sebagai suatu bentuk hasutan yang termaktub di bawah Akta Hasutan.

Pesuruhjaya Pas Kedah, Datuk Ahmad Yahaya mendakwa, pemilikan Pulau Pinang oleh Kedah adalah fakta sejarah yang tidak boleh diputarbelitkan bahkan ia mempunyai sokongan kajian yang kukuh dan pihaknya menyatakan sokongan penuh terhadap kenyataan yang dikeluarkan Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Menurutnya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak harus secara berterusan mempolitikkan isu ini dan mendakwa kecaman serta tekanan yang dihamburkan terhadap Kedah disebabkan kekalahan besar Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum ke-15.

"Kerajaan Negeri Kedah telah berulang kali menuntut hak pajakan Pulau Pinang, penyelesaian isu caj air mentah serta kelulusan projek Kedah Aerotropolis.

"Malangnya kesemua ini sengaja didiamkan serta dilengahkan tidak sebagaimana pantasnya Perdana Menteri tersinggung dengan isu pemilikan Pulau Pinang pada hari ini," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu dalam satu kenyataan pada Rabu.

Jelas Ahmad, Pas Kedah turut berpegang kepada pendirian bahawa isu ini tidak harus disamakan dengan isu tuntutan Kesultanan Sulu ke atas Sabah mahupun hubungan Siam dengan Kedah.

Tambahnya, isu Pulau Pinang milik Kedah yang dibangkitkan pada hari ini tidak melibatkan kedaulatan sempadan negara.

"Oleh itu, Pas Kedah yakin bahawa membahaskan fakta sejarah bukan suatu kesalahan jenayah. Hakikatnya, sememangnya terdapat usaha membunuh karakter individu yang bernama Sanusi.

"Mereka lebih berminat menjatuhkan MB Kedah berbanding berbahas soal sejarah," dakwanya.

Pada Selasa, Sinar Harian melaporkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyerahkan sepenuhnya kepada Peguam Negara untuk mengambil tindakan bersesuaian terhadap kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang menuntut Pulau Pinang milik Kedah.

Menurut Anwar, kenyataan tersebut adalah tidak bertanggungjawab dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah memulakan siasatan berdasarkan beberapa peruntukan undang-undang sedia ada.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!