45 persatuan pemilik kedai kopi tolak pembentangan GEG

45 persatuan pemilik Malaysia-Singapore membantah pembentangan GEG
45 persatuan pemilik Malaysia-Singapore membantah pembentangan GEG
A
A
A

SHAH ALAM - Persatuan Pemilik Kedai Kopi Malaysia-Singapura (MSCSPGA) dan 44 persatuan gabungannya merayu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk mempertimbangkan semula pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Generasi Penamat (GEG) terhadap individu yang lahir selepas 2007.

Presiden MSCSPGA, Wong Teu Hoon berkata, RUU itu tidak boleh dibentang secara terburu-buru kerana ia belum sempurna dan masih banyak perkara yang perlu diteliti semula sekaligus menggagalkan objektif mengurangkan jumlah perokok.

"Kami percaya bahawa pendidikan adalah kunci utama untuk mengurangkan kelaziman merokok.

“Kerajaan harus tegas mengambil langkah mengawal perokok dengan memperluaskan kawasan larangan merokok serta menjalankan lebih banyak penguatkuasaan terhadap perokok bawah umur.

"Larangan merokok untuk generasi baharu tidak akan menyelesaikan masalah ini dan pendekatan yang lebih seimbang diperlukan bagi mengelakkan dari sebarang masalah di kemudian hari,” ujarnya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Ujar Teu Hoon, penguatkuasaan larangan merokok terhadap mereka yang lahir selepas 2007 itu akan memaksa perokok membeli produk tembakau tidak sah dan memburukkan lagi masalah perdagangan rokok seludup di negara ini.

Ini kerana jelas beliau, penjualan produk tembakau merupakan salah satu sumber pendapatan peniaga kedai kopi dan jika larangan itu dikuatkuasakan, ia akan mendorong perokok untuk memilih rokok seludup.

“Seterusnya menjejaskan pendapatan dan kutipan cukai kepada negara.

“Dengan ini, pendapatan kami akan turut terjejas dan yang lebih mengecewakan ialah dunia kini sedang berhadapan dengan kemelesetan ekonomi yang tidak pernah berlaku sebelum ini,” katanya.

Tambah beliau, pihak persatuan juga bimbang mengenai aspek penguatkuasaan GEG yang menjangkakan mereka sendiri yang akan menjadi barisan hadapan untuk melaksanakan larangan tersebut.

Menurutnya, ini kerana kos bagi Kerajaan untuk menempatkan pegawai penguatkuasa di setiap kedai adalah mustahil.

"Peniaga juga bimbang berkenaan penalti yang dikenakan di bawah RUU ini iaitu mana-mana peniaga yang ditangkap menjual rokok kepada individu bawah umur akan didenda minimum RM30,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” ujar beliau.

Teu Hoon berkata, pihak persatuan menyokong agenda untuk mengurangkan jumlah perokok namun kajian dan perundingan yang komprehensif perlu diadakan dengan pihak berkepentingan.

“GEG tidak mudah untuk dilaksanakan seperti yang difikirkan, berbanding menghadkan umur minimum bagi setiap pembelian rokok atau alkohol kerana penduduk terjejas oleh Generasi Penamat akan bertambah tua setiap tahun,” tambahnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!