United intai kelibat pemain Korea
MANCHESTER United sedia untuk berbelanja besar untuk mendapatkan pemain pertahanan Napoli, Kim Min-jae yang mencecah nilai 51 juta pound (RM292.03 juta).
The Red Devils yang dibimbing Erik ten Hag mahu memantapkan benteng pertahanan dengan pemain berusia 26 tahun itu menjadi pilihan utama ketika Newcastle juga dikatakan berminat dengan pemain Korea Selatan itu.
Ketiadaan Min-jae mendorong Napoli mencari pengganti baharu dan pemain Atalanta, Giorgio Scalvini dilihat sebagai pilihan yang sesuai lapor media Calciomercato.
Min-jae menjadi sebahagian pasukan Napoli ketika menjuarai Serie A buat kali pertama sejak 1990.
United ketika ini mempunyai Raphael Varane, Lisandro Martinez, Victor Lindelof dan Harry Maguire di bek tengah, namun kehadiran Min-jae mampu memberi pilihan berbeza.
Min-jae mempamerkan prestasi menakjubkan pada musim pertamanya di Napoli selepas meninggalkan Fenerbahce musim lalu.
Selain Min-jae, United juga dilaporkan berminat untuk mendapatkan pemain tengah Chelsea, Mason Mount menerusi tanda harga 50 juta pound (RM286.30 juta).
Pada musim ini United menjuarai Piala Carabao, namun mereka dikecewakan seteru utama Manchester City dalam saingan final Piala FA Sabtu lalu.
The Red Devils menamatkan saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) di kedudukan ketiga dan tersingkir daripada Liga Europa di pentas suku akhir oleh juara, Sevilla.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!