Binaan haram punca kerja pembersihan longkang sukar

Pekerja KDEBWM menjalankan kerja pembersihan pada Operasi Meruntuhkan Stuktur Binaan Atas Longkang di Jalan USJ 1/19 dan USJ 1/20 Taman Subang Permai pada Rabu. - FOTO: ROSLI TALIB. Gambar kecil: Mohd Fauzan.
Pekerja KDEBWM menjalankan kerja pembersihan pada Operasi Meruntuhkan Stuktur Binaan Atas Longkang di Jalan USJ 1/19 dan USJ 1/20 Taman Subang Permai pada Rabu. - FOTO: ROSLI TALIB. Gambar kecil: Mohd Fauzan.
A
A
A

SUBANG JAYA - Masalah longkang kotor dan tersumbat terutama di kawasan komersial adalah disebabkan halangan daripada binaan haram yang dibina di atas sistem saliran tersebut.

Ketua Operasi KDEB Waste Management (KDEBWM) cawangan Subang Jaya, Mohd Fauzan Hushim berkata, halangan itu telah menyukarkan kontraktor KDEBWM menjalankan kerja-kerja pembersihan longkang yang dijalankan dua kali sebulan.

Menurutnya, KDEBWM dengan kerjasama Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) telah menjalankan kerja-kerja meruntuhkan binaan berkenaan bagi mengatasi permasalahan tersebut.

"Sebelum ini kerja pembersihan telah dibuat namun ia hanya penyelesaian jangka masa pendek.

" Untuk penyelesaian jangka masa panjang KDEBWM telah bekerjasama dengan MBSJ melaksanakan operasi bersepadu dengan memecahkan halangan dan mencuci sisa kotoran terkumpul yang tidak dapat dibersihkan sebelum ini, " katanya pada Rabu.

Beliau ditemui pada Operasi Meruntuhkan Struktur Binaan Atas Longkang di Jalan USJ 1/19 dan USJ 1/20 Taman Subang Permai di sini.

Turut hadir Pengarah Jabatan Korporat dan Pengurusan Strategik MBSJ, Muhammad Azli Miswan dan Ahli Majlis MBSJ, Ar Kamarul Hisham.

Kerja menyedut sisa kotoran menggunakan peralatan khas pada Operasi Meruntuhkan Stuktur Binaan Atas Longkang di Jalan USJ 1/19 dan USJ 1/20 Taman Subang Permai pada Rabu. FOTO: ROSLI TALIB.
Kerja menyedut sisa kotoran menggunakan peralatan khas pada Operasi Meruntuhkan Stuktur Binaan Atas Longkang di Jalan USJ 1/19 dan USJ 1/20 Taman Subang Permai pada Rabu. FOTO: ROSLI TALIB.

Mohd Fauzan berkata, perobohan halangan menumpukan lokasi belakang premis disusuli kerja pembersihan longkang menggunakan peralatan High Pressure Water Jetter dan Catch Basin Cleaner (CBC).

Dalam pada itu, Muhammad Azli berkata, tindakan tersebut merupakan operasi kali ketiga yang akan diteruskan ke semua kawasan komersial di bawah MBSJ.

Mengulas lanjut katanya, operasi perobohan dijalankan selepas pemilik premis gagal mematuhi notis awalan yang dikeluarkan Mac lalu.

"Setelah tamat tempoh notis tersebut, didapati segelintir pengusaha gagal mematuhi arahan tersebut menyebabkan operasi memecahkan binaan dilakukan di bawah Seksyen 70, Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133).

"Sebanyak 25 premis didapati gagal mematuhi notis dan kita telah mengambil tindakan perobohan pada hari ini," katanya.

Beliau berkata, MBSJ meminta pemilik premis mematuhi arahan dikeluarkan atau bakal berdepan tindakan lebih tegas.

"Sebelum ini tindakan kompaun telah dikeluarkan banyak kali namun tidak menyelesaikan masalah dihadapi menyebabkan operasi perobohan dilakukan.

"MBSJ terpaksa mengeluarkan kos bagi operasi perobohan namun kami sedang memikirkan kaedah untuk pemilik premis mempunyai rasa tanggungjawab termasuk menanggung bersama kos berkenaan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!