Sanggup beratur lebih dua jam bayar saman

Orang ramai beratur untuk membayar pelbagai kesalahan trafik di Balai Trafik Klang Selatan dengan diskaun 50 peratus sempena Hari Bertemu Pelanggan Bahagian Siasatan dan IPD Klang Selatan.
Orang ramai beratur untuk membayar pelbagai kesalahan trafik di Balai Trafik Klang Selatan dengan diskaun 50 peratus sempena Hari Bertemu Pelanggan Bahagian Siasatan dan IPD Klang Selatan.
A
A
A

KLANG – Orang ramai di daerah ini mula memenuhi kaunter balai polis trafik untuk menjelaskan saman mereka sempena diskaun 50 peratus pada Hari Bertemu Pelanggan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Ibu Pejabat Daerah (IPD) Klang Selatan bermula semalam hingga esok.

Difahamkan, orang ramai sudah berada di pekarangan Balai Trafik Klang Selatan, di sini, seawal jam 6.30 pagi untuk membayar saman trafik.

Tinjauan Sinar Harian mendapati, jumlah kehadiran semakin meningkat kira-kira jam 10 pagi hingga 12.30 tengah hari walaupun hujan renyai-renyai.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, sebanyak RM335,340 dikutip melibatkan 2,672 saman diselesaikan setakat jam 12.30 tengahari tadi pada hari kedua diskaun 50 peratus saman trafik di IPD Klang Selatan.

“Semalam kita berjaya mengutip RM230,860 melibatkan 1,813 saman dan setakat jam 12.30 tengah hari ini , sebanyak RM104,480 dikutip melibatkan 859 saman,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurut beliau, sembilan kaunter melibatkan dua kaunter semakan, empat kaunter pindaan dan tiga kaunter bayaran dibuka bagi membolehkan orang awam membuat bayaran saman.

“Sambutan yang diterima amat menggalakkan apabila orang ramai memenuhi kaunter untuk membayar saman pelbagai kesalahan trafik.

“Sebahagian besar yang datang membuat bayaran membabitkan kesalahan had laju, kesalahan meletakkan kenderaan serta saman tertunggak,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Kata Shamsul Amar, orang awam digalakkan datang awal agar proses bayaran saman lebih lancar dan mengelakkan kesesakan.

“Semua saman layak mendapat diskaun kecuali saman kemalangan tahun semasa, saman berstatus NC (no compoundable), saman berstatus waran tahun semasa, saman dalam perbicaraan atau berstatus mahkamah dan saman Op Selamat Tahun Semasa dan saman berkaitan lori,” katanya.

Sementara itu, seorang peniaga, Albelt Tan, 62, berkata, dia terpaksa menunggu lebih dua jam sebelum dapat menjelaskan samannya.

“Walaupun terpaksa tunggu lama, tapi ia berbaloi juga kerana bayaran saman telah dikurangkan sebanyak 50 peratus.

“Bayangkan saya ada tujuh saman tertunggak, jadi dengan adanya diskaun seperti ini, ia dapat meringankan beban, duit tak banyak keluar.

“Terima kasih PDRM kerana beri peluang kepada saya dan pesalah trafik lain bayar saman murah dari harga sebenar,” katanya.

Bagi pekerja swasta, Mohd Khairul Nizam Daud, 38, pula mencadangkan agar pihak berkenaan membuka kaunter khas bagi warga emas dan Orang Kurang Upaya (OKU).

“Kesian sebab mereka terpaksa beratur panjang. Jadi selepas ini saya berharap agar kaunter khas dibuka untuk golongan ini demi keselesaan mereka,” katanya.

Bagi warga emas yang ingin dikenali sebagai Yanti, 67, dari Denai Alam, Shah Alam berkata, dia dan suami datang seawal jam 7 pagi untuk menyelesaikan saman tertunggak.

“Suami makcik sanggup datang ke Klang dan beratur panjang untuk bayar saman tertunggak. Ini saja masa yang kami ada.

“Kalau ikutkan memang penat tapi nak buat macam mana. Dah buat salah kena la bayar saman kan. Cuma makcik nak cadangkan kaunter bayaran perlu ditambah supaya dapat mempercepatkan proses bayaran,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!