'Ada yang sanggup tinggal bendang nak datang PAU' - Saarani
IPOH - "Ramai bukan perwakilan dan tiada jemputan, namun tetap hadir ke perhimpunan atas dasar sayangkan parti," kata Datuk Seri Saarani Mohamad.
Pengerusi UMNO Perak itu menegaskan, sejak sekian lama kehadiran ke Perhimpunan Agung UMNO (PAU) dilakukan ahli parti tanpa perlu jemputan daripada mana-mana pihak.
Beliau sendiri mengakui, sebelum ini pernah tidak tersenarai sebagai perwakilan parti, namun atas rasa mencintai parti tetap menghadirkan diri ke perhimpunan.
"Malah perhimpunan itu dihadiri ribuan orang yang mana (kebanyakan) mereka bukan perwakilan, akan tetapi tetap hadir atas semangat cintakan parti.
"Ada mak long, mak cik sanggup tinggalkan bendang dan datang walaupun kadang hanya duduk bersila. Mereka tetap hadir walaupun tidak dijemput," katanya kepada pemberita pada Rabu.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang menyifatkan pelawaan kepada bekas ahli UMNO untuk menghadiri PAU sebagai sindiran.
Bekas Naib Presiden UMNO itu menyifatkan tindakan tersebut tidak membantu langsung usaha untuk memulihkan kedudukan parti dalam memenangi hati ahli-ahli di akar umbi.
Saarani yang juga Menteri Besar Perak berkata, terpulang kepada tafsiran masing-masing sama ada merasakan pelawaan itu sebagai satu penghormatan atau sebaliknya.
"Itu terpulang kepada pendirian dan masing-masing punya perasaan.
"Ada orang tak boleh tak pergi, tak dipilih tetapi pergi juga kerana suasana itu kecintaan kepada parti," katanya.
Sabtu lepas, Ahmad Zahid menyatakan UMNO sentiasa membuka pintu kepada bekas ahlinya untuk menghadiri PAU walaupun bukan sebagai perwakilan.
Kehadiran bekas ahli parti Melayu itu mungkin boleh menjadi pemerhati di luar dewan ketika perhimpunan tersebut berlangsung.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!