Siti Nurhaliza, David Foster sekali lagi berkolaborasi

Siti Nurhaliza
Siti Nurhaliza
A
A
A

[DIKEMAS KINI] Penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin kembali berkongsi pentas dengan penerbit dan komposer terkenal, David Foster menerusi Konsert Eksklusif 'Hitman: David Foster and Friends Asia Tour 2023' di Mega Star Arena, Sungei Wang Plaza, di sini, pada 7 Ogos depan.

Konsert itu turut menampilkan penyanyi antarabangsa yang lain seperti Michael Bolton, Peabo Bryson, Loren Allred dan Katharine McPhee, merupakan anjuran sebuah organisasi kebajikan yang ditubuhkan untuk menyediakan pelbagai bantuan kepada golongan miskin dan kurang berkemampuan, Yayasan Prihatin Nasional (Prihatin) dengan kerjasama B De Paris Beauty Project Ent.

Menjadi satu-satunya artis jemputan tanah air, Siti Nurhaliza, 44, bagaimanapun tidak mahu mensia-siakan peluang yang diberi dan berazam memberikan sebuah persembahan terbaik.

"Kali pertama, saya bekerjasama dengan David dalam satu persembahan eksklusif, sembilan tahun lepas. Saya berdoa ia bukanlah kerjasama pertama dan terakhir. Selepas itu, saya dipelawa beberapa kali membuat persembahan bersama di Indonesia, tetapi rezeki tidak menyebelahi saya.

"Saya bersyukur dan rasa bertuah malah percaya ini adalah platform terbaik menunjukkan bakat apatah lagi dalam kebangkitan ramai penyanyi muda yang bagus dan berbakat, pasukan pengurusan David tetap memilih saya," katanya pada sidang media mengenai konsert berkenaan, di sini, hari ini.

Dalam konsert itu, pelantun lagu Anta Permana ini bakal membawakan lagu ciptaan komposer berkenaan dan satu lagu popularnya.

"Berdiri satu pentas terutama di bawah pimpinan David adalah impian setiap artis. Jadi, apabila saya lihat senarai barisan artis antarabangsa yang terlibat, ia membuatkan saya rasa kerdil.

"Tambahan pula, saya belum dikenali di peringkat antarabangsa, sebelum ini hanya dikenali di Asia, tetapi saya percaya belum terlambat untuk saya dikenali di pentas antarabangsa meskipun pada usia 44 tahun," katanya yang turut dijemput untuk beraksi menjayakan persembahan bersama David di Singapura pada 8 Ogos depan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Prihatin, Datuk Mohd Aizuddin Ghazali berkata, penganjuran konsert itu bakal memberi manfaat pendidikan kepada pelajar di menara gading yang tidak berkemampuan dalam kategori asnaf dan B40.

"Ini adalah kali pertama kami mengadakan konsert skala besar membabitkan artis antarabangsa. Kami teruja diberi peluang kerana konsert ini bukan hanya bersifat komersial tetapi turut menekankan konsep berhibur sambil beramal.

"Insya-Allah, sebahagian hasil jualan tiket ini akan disalurkan kepada Tabung Kasih Prihatin. Sambil berhibur, kita juga tidak mahu melupakan mereka yang memerlukan," katanya.

Peminat boleh mendapatkan tiket dengan harga RM288, RM688, RM788 dan RM988 di laman sesawang di www.myticket.asia. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!