104 individu dicari polis Kedah
ALOR SETAR - Polis Kedah kini sedang mengesan 104 individu yang dikehendaki bagi membantu siasatan berkaitan jenayah komersial khususnya di negeri ini sejak tahun 2015 sehingga hari ini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Kedah, Superintendan Annuar Amri Datuk Abd Muluf berkata, semua individu tersebut berusia di antara lingkungan 21 tahun hingga 64 tahun perlu tampil bagi membantu kes tipu, pecah amanah jenayah dan pinjaman wang berlesen.
Menurutnya, daripada jumlah tersebut seramai 29 orang adalah wanita dan selebihnya 75 adalah lelaki yang melibatkan pelbagai bangsa.
"Kami berharap semua individu yang dikehendaki ini dapat tampil memberikan kerjasama dengan menghubungi pegawai penyiasat agar siasatan yang dilakukan boleh dilengkapkan,"katanya dalam satu kenyataan.
Tambahnya, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai individu-individu ini juga boleh menyalurkan maklumat terus kepada pegawai penyiasat atau terus ke mana-mana balai polis yang berdekatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!