Polis terima laporan abang sado
TAPAH - Polis mengesahkan menerima laporan daripada lelaki yang tular memukul kepala dan mengugut seorang pemandu wanita semasa dalam perjalanan dari Cameron Highlands ke Tapah.
Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, penyelia kilang berusia 29 tahun itu membuat laporan di Balai Polis Serdang, Selangor pada Selasa.
"Berdasarkan laporan itu, lelaki itu mendakwa pemandu wanita cuba memotong keretanya namun gagal ekoran ada kenderaan lain di hadapan.
"Kereta dipandu wanita itu masuk semula ke laluannya hingga hampir bergesel dengan kereta Proton Persona dipandu lelaki itu," katanya di sini pada Rabu.
Menurutnya, siasatan lanjut akan dijalankan dan kertas siasatan akan dirujuk Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan selanjutnya.
Tambah beliau, orang ramai yang melihat kejadian itu atau mempunyai maklumat diminta tampil bagi membantu siasatan polis dengan hadir ke balai polis berhampiran atau menghubungi pegawai penyiasat kes, Asisten Superintendan Noor Irwan Abd Ghani di talian 017-3168097.
Sinar Harian melaporkan lelaki berbadan tegap yang tular dalam rakaman memukul kepala dan mengugut seorang pemandu wanita itu direman selama tiga hari oleh Mahkamah Majistret Tapah.
Lelaki tersebut ditahan selepas wanita berusia 24 tahun itu membuat laporan di Balai Polis Saujana Utama, Sungai Buloh, Selangor.
Kejadian berlaku sekitar jam 5.33 petang ketika mangsa dan adik lelakinya berusia 17 tahun dalam perjalanan turun dari Cameron Highlands menuju ke Tapah pada Isnin.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!