'Pas hanya tunggu gendang PRN dipalu'
KOTA BHARU - Pas Kelantan yakin mampu mempertahankan teraju kepimpinan di negeri ini pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang meskipun berdepan saingan dua penjuru selepas Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) membentuk kerjasama.
Setiausahanya, Wan Roslan Wan Hamat berkata, keyakinan itu berpandukan kepada penerimaan rakyat terhadap perjuangan Pas selama ini.
"Kita sudah bersiap sedia dan hanya menunggu gendang PRN dipalu (pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN)," katanya ketika dihubungi pada Rabu.
Menurut beliau, agihan semua kerusi DUN melibatkan parti itu dengan gabungan Perikatan Nasional (PN) sudah selesai sepenuhnya.
"PN Kelantan kini berada dalam mood terbaik untuk menghadapi PRN. Soal agihan kerusi antara BN-PH yang sudah selesai kita tidak mahu ambil tahu.
"Apa yang penting kita sudah bersedia untuk berdepan mereka," katanya.
Media sebelum ini melaporkan, UMNO Kelantan telah mencapai kata sepakat dengan rakan gabungannya, PH untuk bertanding sekurang-kurangnya 31 daripada 45 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Perkara itu dinyatakan Ketua Penerangannya, Datuk Zawawi Othman selepas kata putus itu mencapai persetujuan dengan PH hanya meletakkan calon bertanding di 14 kerusi DUN.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!