14 maut, pikap bertembung trak di Bangladesh

14 orang terbunuh dan 12 yang lain cedera selepas sebuah trak dan pikap bertembung dalam nahas jalan raya di daerah Sylhet, Bangladesh. - Foto DT
14 orang terbunuh dan 12 yang lain cedera selepas sebuah trak dan pikap bertembung dalam nahas jalan raya di daerah Sylhet, Bangladesh. - Foto DT
A
A
A

DHAKA - Sekurang-kurangnya 14 orang terbunuh dan 12 yang lain cedera selepas sebuah trak dan pikap bertembung dalam nahas jalan raya di daerah Sylhet Bangladesh pada Rabu, lapor Xinhua memetik kenyataan seorang pegawai kanan polis.

Inspektor di Balai Polis Dakshin Surma Sylhet, Md Abul Hossain, berkata: "sekurang-kurangnya 14 orang terbunuh dan 12 cedera, dengan kesemua yang maut terdiri pekerja binaan.”

Beberapa pekerja cedera parah dalam kemalangan yang berlaku kira-kira 6 pagi waktu tempatan di daerah itu, kira-kira 240 kilometer timur laut Dhaka, kata pegawai itu.

Kesemua yang cedera dikejarkan ke hospital dan klinik tempatan, katanya sambil menambah punca nahas sedang disiasat.

Bangladesh merekodkan antara kadar kematian tertinggi dalam nahas jalan raya di dunia terutama berpunca daripada keadaan lebuh raya yang buruk, kenderaan yang tidak diselenggara dengan baik, pelanggaran peraturan lalu lintas oleh pemandu selain kurangnya pemantauan oleh Jabatan Trafik.

Semasa perayaan Aidilfitri dari 15 April hingga 29 April lepas, sebanyak 328 orang terbunuh dan 565 cedera dalam 304 kemalangan jalan raya di Bangladesh. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!