Guna MH370 bahan jenaka adalah keji, jijik - Isteri pramugara
SHAH ALAM - Isteri kepada pramugara pesawat penerbangan Malaysia Airlines (MAS), MH370, Mohd Hazrin Mohamed Hasnan iaitu Intan Maizura Othaman menyifatkan tindakan menjadikan tragedi MH370 bahan jenaka adalah keji dan menjijikkan kerana tidak peka terhadap sensitiviti kehilangan kapal terbang berkenaan.
Menurutnya, Jocelyn Chia mengetahui bahawa lawak yang digunakan mampu menyinggung perasaan orang ramai, namun tetap mahu menjadikannya sebagai jenaka.
“Cuba perhatikan dia (Jocelyn) tertawa dengan gurauannya sendiri.
“Secara peribadi saya melihat jenaka ini sebagai tangisan yang mahukan pertolongan daripada manusia terdesak dan keji,” tulisnya menerusi satu hantaran di laman sosial Facebook pada Rabu.
Pada masa sama, Intan Maizura turut berkata, orang ramai akan mendapat lawak hambar apabila menghadiri sesuatu acara dengan menampilkan seseorang yang tidak mengetahui cara sebenar berjenaka.
Jelasnya, tiada keperluan menggunakan isu kontroversi semata-mata mahu meraih populariti dengan begitu cepat.
“Ingatlah bahawa perasaan rendah diri dan tidak yakin kepada diri sendiri kadangkala boleh mengubah perilaku seseorang.
“Ia boleh membuatkan seseorang membenci diri sendiri dan mencerminkan diri sebagai individu yang tidak berhati perut atau mungkin tiada otak,” ujarnya.
Dalam pada itu, Intan Maizura berharap agar MH370 tidak dijadikan lagi sebagai jenaka yang menyedihkan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!