BN perlu buktikan kekuatan menang kerusi PRN - Ahmad Zahid
KUALA LUMPUR - Barisan Nasional (BN) perlu membuktikan kekuatan dengan memenangi semua kerusi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal dimuktamadkan untuk parti itu nanti.
Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, anggapan bahawa parti kuat tidak ada makna jika gagal meraih kemenangan.
"Kita adalah sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan yang mana kita tidak dominan.
"Itu harus diakui hakikatnya, oleh demikian PRN di enam negeri ini mengundang kerja kuat kita.
"Kita kena buktikan mana-mana kerusi yang dimuktamadkan (oleh kerajaan) untuk diberikan kepada BN (pada PRN) hendaklah kita menangi," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas selesai menyempurnakan Majlis Perasmian Skuad Sayang 3K Kebangsaan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini pada Rabu.
Majlis itu merupakan acara sampingan bersempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023 yang bermula pada Rabu hingga Sabtu ini.
Turut hadir, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad dan kepimpinan tertinggi parti lain.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!