Rumah mampu milik: Kenya minat pelajari kepakaran Malaysia

Kor Ming
Kor Ming
A
A
A

SHAH ALAM - Kenya menyatakan minat dan berhasrat untuk bekerjasama, mempelajari dan mendapatkan khidmat kepakaran Malaysia dalam aspek penyediaan perumahan mampu milik negara.

Perkara itu dinyatakan Presiden Kenya, William Samoei Ruto kepada Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming dalam satu pertemuan ketika Kor Ming berada di ibu negara Kenya, Nairobi, sempena Persidangan United Nations Human Settlement Programme (UN-Habitat) 2023 yang bermula 5 hingga 9 Jun.

Kor Ming berkata, Malaysia bersedia untuk bekerjasama dan berkongsi kepakaran, latihan serta amalan terbaik dengan mana-mana negara termasuk Kenya khususnya berkaitan inisiatif Malaysia dalam membangunkan sektor perumahan.

"Perumahan mampu milik seperti yang dibangunkan oleh Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) menjadi antara tarikan topik dalam persidangan tersebut,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Jelasnya, dasar dan program berkenaan menjadi antara model dan rujukan bagi negara-negara membangun dalam penyediaan rumah mampu milik termasuk dari aspek pembiayaan serta pembinaan rumah.

“Malaysia mendapat respons positif dan dijemput untuk menyertai pelbagai acara peringkat dunia bagi berkongsi langkah terbaik kerajaan Malaysia dalam sektor perumahan, pengurusan sisa pepejal serta agenda pembangunan mampan," ujar beliau.

Kor Ming pada persidangan kali ini turut menghadiri 10 sesi bilateral bersama rakan sejawat dan pegawai tertinggi dari pelbagai negara seperti China, Colombia, Bahrain, Filipina, Palestin, Qatar, Indonesia dan Emiriah Arab Bersatu.

Antara perkara yang dibincangkan dalam sesi bilateral itu adalah berkaitan agenda pembangunan mampan termasuk pelaksanaan inisiatif bandar pintar, pengurusan sisa pepejal serta peningkatan kerjasama antara negara.

Turut hadir ke persidangan tersebut ialah Ketua Pegawai Eksekutif Urbanice Malaysia, Ruzaimee Mohamad, diiringi pegawai-pegawai kanan kementerian serta PR1MA.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!