CEO Petronas yakin lanjutan kontraknya

Tengku Muhammad Taufik - Foto Bernama
Tengku Muhammad Taufik - Foto Bernama
A
A
A

PRESIDEN dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Petroliam Nasional Bhd (Petronas), Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz optimis bahawa kontraknya yang akan tamat pada akhir bulan ini berkemungkinan diperbaharui.

Tengku Muhammad Taufik berkata, beliau tidak menerima sebarang bantahan daripada pemegang saham berhubung pembaharuan kontraknya.

"Kontrak saya... saya tidak ada sebab untuk percaya (kontrak) tidak akan dilanjutkan, ada isyarat bahawa terdapat lanjutan,” katanya pada sesi taklimat dengan editor pada Selasa.

Bagaimanapun, Tengku Muhammad Taufik berkata pada akhirnya, keputusan untuk memperbaharui kontrak tersebut adalah berdasarkan budi bicara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pada Jun 2020, perdana menteri ketika itu Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelantikan Tengku Muhammad Taufik sebagai Presiden dan CEO kumpulan syarikat minyak negara itu.

Tengku Muhammad Taufik menggantikan Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin berkuat kuasa 1 Julai 2020 yang dilantik sebagai pengerusi baharu Malaysian Airlines Bhd. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!