YBK bantu tujuh beranak
SERENDAH - Nasib tujuh beranak yang tinggal di pondok buruk di Air Terjun Serendah mendapat perhatian Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK).
Pengurus Besar YBK, Sherhan Nizam Abdul Aziz berkata, pasukan yayasan itu bertindak segera dengan mengunjungi keluarga berkenaan selepas kisah mereka disiarkan Sinar Harian.
Menurutnya, YBK menawarkan pembiayaan pendidikan percuma di Asrama Kasih YBK Serendah (sekolah menengah) dan Asrama Kasih YBK Gesir (sekolah rendah) kepada anak keluarga itu.
"YBK yakin melalui bantuan pendidikan akan membantu keluarga ini keluar daripada kemelut kemiskinan.
"Telah dimaklumkan juga, banyak pihak yang turun membantu seperti Lembaga Zakat Selangor, Adun Batang Kali dan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Hulu Selangor dan badan bukan kerajaan (NGO).
"Tahniah pada semua yang pihak yang turun membantu. Semoga dengan keperihatinan semua pihak, kita sama-sama dapat membantu meringankan beban keluarga ini," katanya ketika menzirahi keluarga itu, pagi tadi.
Hadir sama, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Serendah merangkap Pengerusi Perkim Hulu Selangor, Bahari Tajuddin.
Sherhan berkata, penempatan pondok sementara yang didiami keluarga terbabit dipindahkan ke sebuah rumah bersebelahan surau Kampung Orang Asli Serendah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!