SPRM bongkar sindiket jual sijil kelahiran

Pegawai SPRM melakukan pemeriksaan di beberapa buah klinik sekitar Lembah Klang yang dipercayai memalsukan dokumen sijil lahir.
Pegawai SPRM melakukan pemeriksaan di beberapa buah klinik sekitar Lembah Klang yang dipercayai memalsukan dokumen sijil lahir.
A
A
A

SHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan 12 individu kerana dipercayai terlibat dalam tindakan memalsukan dokumen sijil lahir untuk mendaftarkan anak angkat sebagai anak kandung.

Sumber berkata, penahanan itu membabitkan dua pegawai agensi kerajaan, empat doktor perubatan swasta dan enam orang awam.

Menurut sumber, kesemua suspek berusia 42 hingga 81 tahun ditahan pada jam 6 petang ini menerusi satu serbuan berasingan yang dilakukan di beberapa lokasi sekitar Lembah Klang.

Tambahnya, pemohon (orang awam) akan membayar wang rasuah sama ada secara peribadi atau menerusi orang tengah kepada doktor di klinik-klinik tertentu bagi mendapatkan surat pengesahan kelahiran palsu.

Bagaimanapun katanya, anak yang akan didaftarkan itu sebenarnya tidak dilahirkan di klinik tersebut.

"Difahamkan doktor tertentu akan menandatangan dan mengesahkan borang kelahiran bagi mengesahkan kelahiran pemohon di klinik berkenaan walaupun ia tidak berlaku.

"Dengan pengesahan tersebut, pemohon atau orang tengah akan menguruskan pendaftaran kelahiran anak dan sekiranya terdapat keraguan, pihak berkaitan akan memaklumkan kepada pemohon bahawa permohonan tidak dapat diproses dan perlu menunggu tindakan lanjut.

"Kaunter agensi kerajaan kemudiannya akan merujuk permohonan tersebut ke Bahagian Siasatan Khas untuk dibuka fail siasatan," katanya pada Rabu.

Tambahnya, pemohon atau orang tengah seterusnya akan cuba berurusan dengan pegawai agensi kerajaan bagi mendapatkan status permohonan.

Katanya lagi, sekiranya permohonan ditolak atau disenarai hitam, pihak tersebut akan menawarkan sejumlah wang rasuah kepada pegawai terlibat untuk mendapatkan kelulusan.

"Difahamkan jumlah bayaran rasuah yang diterima adalah antara RM2,000 hingga RM6,000 bagi setiap kes," ujarnya.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Perisikan SPRM, Datuk Azmi Kamaruzaman mengesahkan penahanan tersebut dan memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 17 dan Seksyen 18 ASPRM 2009.

Tambah beliau, kesemua suspek akan dibawa ke Mahkamah Kuala Lumpur pada Khamis jam 8.30 pagi untuk urusan permohonan reman.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!