UMNO masih utuh pertahan Melayu, Islam - Tok Mat

Mohamad
Mohamad
A
A
A

KUALA LUMPUR - Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan parti itu masih utuh dengan nasionalisme Melayu dan Islam.

Menurutnya, meskipun UMNO membuat keputusan membentuk kerajaan bersama Pakatan Harapan (PH), namun jati diri parti itu tidak pernah luntur.

"Kita parti nasionalis. Mempertahankan Melayu dan Islam itu, perjuangan kita.

"Kerana itulah juga, kita dipanggil ‘assabiyah’ selama berpuluh-puluh tahun, oleh parti tertentu. Kita dilabel parti kesukuan dan perkauman fanatik.

"Sekarang, hanya kerana haluan politik kita berbeza, kita difitnah membelakangkan Melayu dan Islam pula," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Perhimpunan Agung Pergerakan Sayap Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini pada malam Rabu.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, UMNO tidak sesekali akan membuang agama dan bangsa, walaupun ketika ini duduk bersama kerajaan yang disertai 19 parti lain.

"Insya-ALLAH, UMNO akan memperjuangkan Islam dan Melayu, dalam kerangka ‘hubbul watan’ yang lebih sederhana, dan lebih menghargai kepelbagaian Malaysia," katanya.

Justeru katanya, tidak ada sebab lagi untuk mana-mana pihak khususnya ahli akar umbi untuk meragui perjuangan parti.

"Matikanlah segala keraguan tentang ketegasan pendirian UMNO, untuk bangsa Melayu dan Islam," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!