'UMNO perlukan 'blueprint' agenda Melayu untuk kelangsungan'
KUALA LIMPUR - UMNO memerlukan rangka tindakan atau blueprint baharu agenda Melayu sekiranya ingin meneruskan kelangsungan parti pada masa akan datang.
Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, UMNO dilihat belum menampilkan agenda yang lebih progresif untuk kaum majoriti di Malaysia itu.
Tegasnya, melalui blueprint itu, secara tidak langsung membuktikan UMNO menyedari masalah yang melingkari kaum Melayu serta mempunyai perancangan untuk menyelesaikannya.
"Seruan saya adalah untuk UMNO memulakan langkah berani dan tegas dengan merangka blueprint baru dengan membawa agenda Melayu, yang moden dan maju, untuk meyakinkan bangsa Melayu, bahawa kita ada rencana yang jelas.
"Saya lihat, dengan blueprint sedemikian, kita dapat membuktikan bahawa, kita sedar akan masalah yang melingkari bangsa Melayu, dan kita ada strategi dan rancangan jangka panjang untuk mereka," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Perhimpunan Agung Pergerakan Sayap Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini pada malam Rabu.
Mengulas lanjut, Mohamad yang juga Ahli Parlimen Rembau berkata, meskipun pahit untuk ditelan, hakikatnya bumiputera jauh ketinggalan berbanidng kaum lain di negara ini.
"Orang Melayu kita masih tergolong dalam kumpulan miskin tegar, dengan kadar kemiskinan tertinggi berbanding masyarakat yang lain.
"Tidak cukup dengan itu, wang simpanan persaraan bumiputera juga, semakin susut saban tahun," katanya.
Ujarnya, kesempitan hidup pasca pandemik Covid-19 memaksa mereka mengeluarkan wang persaraan secara besar-besaran sebelum ini.
"Sehingga kini hampir 5.1 juta atau 76 peratus pencarum KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) Bumiputera, kini mempunyai simpanan kurang daripada RM10,000.
"Lebih membimbangkan, lebih dua juta atau 81 peratus pencarum KWSP bumiputera berumur 55 tahun ke bawah, mempunyai simpanan ‘amat kritikal’, iaitu kurang daripada RM1,000," katanya.
Dalam pada itu, Mohamad turut mengusulkan supaya UMNO segera menganjurkan Kongres Melayu.
"Kita himpunkan pemikir terbaik bangsa untuk membantu kita menghasilkan blueprint Melayu maju ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!