Video wanita Malaysia hilang di Thailand dakwa dia sihat, selamat
BANGKOK - Kelibat wanita dipercayai warga Malaysia yang dilaporkan hilang di daerah Mae Sai di wilayah Chiang Rai dilihat muncul dalam tiga video, membuktikan dia berada dalam keadaan yang 'selamat dan sihat’.
Wanita yang dipercayai Chong Sum Yee, seorang pakar kecantikan berusia 22 tahun, kali terakhir dilaporkan dilihat di Mae Sai, kelihatan tersenyum di dalam video berkenaan.
Media melaporkan Sum Yee berlepas ke Chiang Mai pada 29 Mei dan mengembara ke Mae Sai yang terletak di utara Thailand, berhampiran bandar Tachilek di Myanmar, lokasi insiden pemerdagangan orang dilaporkan sebelum ini.
Video itu dimuat naik oleh seorang pengguna Facebook bernama 'Moe Aye' di ruangan komen catatan ibu Sum Yee, Chee Choy Wen. Kesemua video itu dipercayai dirakam dari telefon bimbit lain.
Dalam dua video itu, wanita berambut panjang itu berulang kali menyatakan "dia selamat dan sihat”. Wanita itu turut merayu polis supaya berhenti mengganggu pemandu yang menghantarnya ke sana kerana pemandu itu langsung tidak tahu-menahu mengenai keadaannya.
Dalam video berdurasi 23 saat, wanita yang memakai baju berwarna gelap itu berkata "Hello. Saya sedang bekerja di sini dan saya selamat. Jangan risau tentang saya."
Menerusi satu lagi video berdurasi 33 saat, wanita itu mengulangi dia baik-baik saja, sihat dan tidak dipukul.
"Rakan-rakan, ahli keluarga dan netizen, tidak perlu risau.... Bye, bye. Saya nak makan sekarang,” katanya.
Dalam video lain, wanita itu berdiri di kaunter barangan dan membuat isyarat ‘peace”.
Video berkenaan mencetuskan perdebatan dan keraguan dalam kalangan netizen.
Menurut Netizen, raut wajah Sum Yee seolah-olah tidak menggambarkan situasi sebenar dan dipercayai beliau dipaksa merakam video itu.
Netizen turut mempersoalkan mengapa Sum Yee tidak terus menghubungi ibunya, sebaliknya menghantar video melalui orang yang tidak dikenali di Facebook.
Terdahulu, polis Thailand berkata, siasatan awal mendapati Sum Yee telah menyeberang sempadan ke Tachilek, Myanmar sejak 30 Mei.
Sementara itu, ibu Sum Yee tiba di Mae Sai hari ini.
Beliau diiringi penterjemah dan bertemu pihak polis untuk memberikan maklumat serta dokumen dengan harapan anaknya berjaya ditemukan.
Sementara itu, media tempatan melaporkan, Choy Wen menerima mesej di aplikasi Line mengatakan "Ibu, jangan risau."
Beliau yang kini menginap di sebuah hotel di Mae Sai, mengesyaki mesej itu ditulis oleh orang lain bagi pihak anak perempuannya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!