Nazrulerwan kecewa awang import gagal berfungsi

Aksi kedua-dua pasukan pada perlawanan di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, Kota Bharu. Gambar kecil: NAZRULERWAN
Aksi kedua-dua pasukan pada perlawanan di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, Kota Bharu. Gambar kecil: NAZRULERWAN
A
A
A

PENOLONG Ketua Jurulatih Kelantan United FC menyalahkan barisan pemain import yang gagal berfungsi menjadi punca mereka diaibkan dengan kekalahan 1-7 ke atas Selangor FC pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Muhammad ke-IV pada Rabu.

Nazrulerwan Makmor turut menyifatkan kekalahan itu menjadi rekod paling mengejutkan sepanjang karier bola sepak dan kejurulatihannya.

“Sewaktu saya jadi pemain tak pernah bolos sampai tujuh. Ini dalam karier jurulatih pertama kali terkejut kerana terlampau besar.

“Pemain-pemain import tidak membantu, jadi, saya harap pengurusan dapat menukarkan mereka secepat mungkin,” katanya pada sidang akhbar selepas tamat aksi perlawanan.

Begitupun, Nazrulerwan mengakui dua gol awal pihak lawan merencatkan permainan dan taktikal anak-anak buahnya namun resam perlawanan perlu ada kebangkitan walaupun ketinggalan 0-2.

“Pemain-pemain saya tidak mengikut arahan.

Kekalahan Kelantan United FC kepada Selangor FC dalam perlawanan pada Rabu.
Kekalahan Kelantan United FC kepada Selangor FC dalam perlawanan pada Rabu.

“Saya ulang sekali lagi, pemain-pemain import tidak memberi komitmen yang terbaik,” tegasnya.

Nazrulerwan turut mendesak pihak pengurusan segera menggantikan dengan pemain lebih berkualiti dan membantu pasukan kerana percaya Kelantan United belum ketinggalan serta mampu mencapai yang terbaik.

Dalam pada itu, beliau memberitahu sudah mempunyai senarai nama pemain import baharu selain mengharapkan kekosongan jawatan ketua jurulatih cepat diisi bagi memudahkan perbincangan pertukaran dan taktikal perlawanan.

“Ada lima atau enam nama tetapi tidak boleh dedahkan lagi kerana masih dalam perbincangan,”ujarnya.

Sementara itu, Ketua Jurulatih The Red Giant, Tan Cheng Hoe memuji sikap pemain-pemainnya yang fokus setiap kali mencipta peluang dan berjaya manfaatkannya dengan gol.

“Setiap kemenangan memang cukup manis dan motivasi kerana terhasil dengan usaha setiap pemain, barisan jurulatih dan teknikal.

“Saya tidak menganggap setiap perlawanan itu adalah mudah dan mahu pemain-pemain bekerja keras serta terus konsisten dalam setiap perlawanan selain tidak boleh terleka untuk aksi seterusnya,” katanya.Ends

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!