Terengganu kekalkan prestasi cemerlang SPM
KUALA TERENGGANU - Terengganu terus mengekalkan kecemerlangan dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2022 dengan merekodkan Gred Purata Negeri (GPN) 4.59 mengatasi Gred Purata Nasional 4.74.
Keputusan yang direkodkan itu menunjukkan peningkatan berbanding GPN tahun lalu iaitu 4.72.
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri, Abdul Muie Ngah berkata, seramai 18,747 calon telah menduduki peperiksaan itu di mana 333 calon iaitu 2.07 peratus telah memperoleh keputusan semua A (A+, A, A-) berbanding 321 calon pada 2021.
"Daripada jumlah itu, enam calon mendapat kesemua A dengan satu daripadanya memperoleh keputusan 10A manakala lima lagi calon masing-masing mendapat 9A.
"Seorang calon berkeperluan khas (CBPKT) yang mengalami masalah penglihatan mendapat 7A (5A,2A)," katanya pada majlis pengumuman keputusan peperiksaan SPM Terengganu 2022 di Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu pada Khamis.
Menurutnya, seramai 18,747 calon mengambil peperiksaan SPM pada tahun 2022 di 176 pusat peperiksaan di seluruh Terengganu dengan 9,617 calon memperoleh keputusan lulus semua mata pelajaran yang diambil.
Tambahnya, Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu (YT) Kuala Terengganu muncul sekolah terbaik dengan GPS 1.31, kategori sekolah semua A terbaik serta peningkatan semua A terbaik.
"Terdapat lima sekolah yang merekodkan kecemerlangan dengan kesemua calonnya lulus semua mata pelajaran iaitu SM Imtiaz Kuala Terengganu, SM Imtiaz Besut, SM Imtiaz Setiu, SM Imtiaz Kemaman dan SM Imtiaz Dungun.
"SMK Chalok (Model Khas) di Setiu pula muncul sekolah dengan peningkatan GPS terbaik iaitu 5.48 berbanding 6.65 pada tahun lalu," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!