Wanita UMNO tidak jemu tuntut kuota 30 peratus - Noraini
SHAH ALAM - Wanita UMNO mengulangi gesaan supaya parti segera menunaikan janji untuk memberikan kuota 30 peratus kerusi kepada calon mewakili sayap itu dalam enam Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.
Ketuanya, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, ia selari dengan tonggak penting yang dimainkan wanita dalam pembangunan negara ini.
“Kita mahu wanita diberikan kuota 30 peratus kerusi, dan bukan lagi sekadar janji-janji.
"Wanita tidak akan pernah jemu dengan tuntutan sehingga ia dapat dicapai.
“Tuntutan ini hadir bersama dengan cabaran. Adakah kita bersedia? Kita mempunyai barisan yang cukup dan memenuhi kriteria yang boleh ditonjolkan sebagai calon. Saya percaya kita boleh,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar sempena Perhimpunan Agung Wanita UMNO 2023 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini pada Khamis.
Tambah Noraini yang juga Ahli Parlimen Parit Sulong, wanita perlu dilihat seiring dengan peredaran politik ketika ini selari dengan pengorbanan dan perjuangan yang dilaksanakan sebelum ini.
Malah katanya, wanita juga tidak mahu diberikan dengan portfolio tradisi seperti ‘ada-ada’ semata-mata, tetapi turut diberikan peranan yang lebih besar.
“Kita mahu wanita diberikan peluang untuk menerajui kementerian yang lebih kanan. Kita juga mahu diberikan jawatan-jawatan penting dalam agensi dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC),” ujarnya.
Sementara itu, dalam perkembangan sama, Noraini turut berpandangan bahawa sudah tiba masanya untuk Wanita UMNO mempunyai sebuah institusi yang mencungkil potensi dan melahirkan calon-calon wanita yang boleh ketengahkan.
Jelasnya, sayap parti itu mesti bergerak ke hadapan dengan melaksanakan evolusi politik wanita agar lebih dipercayai, moden dan mampu meneruskan kelangsungan UMNO.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!