Terima asimilasi politik dengan hati terbuka - Nurul Amal
KUALA LUMPUR - Akar umbi UMNO perlu menerima asimilasi atau penyesuaian politik antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) demi kepentingan rakyat serta kestabilan Kerajaan Perpaduan.
Ketua Puteri UMNO, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi berkata, asimilasi berkenaan bukan satu perkara baharu di negara ini, tetapi perlukan satu tempoh untuk membiasakan diri.
"Kita sudah terbiasa dengan lenggok dalam politik, sebati dengan budaya UMNO (iaitu) tradisi yang diwarisi dari dahulu. Saya faham, hendak terima perkara yang baharu dan asing pasti sedikit aneh, mungkin masih lagi ada rasa terkejut.
"Sudah banyak negara telah melakukan asimilasi politik bagi menstabilkan kedudukan kerajaan yang turut memberi impak besar kepada perkembangan ekonomi negara. Kita juga tidak terlepas, dominasi semakin mengecil, asimilasi semakin melebar, perpaduan tampak sinarnya.
"Walau mungkin ada yang sampai bila-bila tidak boleh menerima asimilasi politik ini, namun kita harapkan sampai masanya mereka boleh menerima," katanya ketika menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung UMNO 2023 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur pada Khamis.
Dalam pada itu, beliau berkata, penyatuan politik yang berlaku selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) merupakan kesinambungan gagasan perpaduan yang diasaskan oleh Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein dalam pembentukan kabinet campuran pada 1973.
Sambil memetik kata-kata daripada Bapa Pembangunan itu, beliau mengingatkan agar ahli akar umbi khususnya Puteri UMNO kekal teguh dengan pendirian serta prinsip perjuangan parti.
"Perkara yang perlu kita faham dan hadam, walaupun dengan penyatuan kerajaan, UMNO tetap berdiri atas prinsip perjuangan parti. Identiti parti masih sama, namun tambah baik anjakan pola fikir dan gagasan fikiran lebih terbuka.
"Kita tidak mahu hilang identiti parti dalam simbiosis politik ini. Perihal keperibadian jati diri kita harus utuh malah lebih kukuh menyusur waktu.
"Perkasakan rumah kita, tegakkan tiang seri yang menjadi tonggak keteguhan rumah ini. Jangan robohkan rumah dari dalam agar semua dapat terus berteduh dan tinggal harmoni di dalammnya. Kalau rumah kita bocor, kita semua akan merasa bahang panas dan tempias hujan," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!