Jokowi sahabat sejati - Anwar
PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan Presiden Indonesia, Joko Widodo atau lebih dikenali Jokowi sebagai sahabat sejati.
Menerusi ucapan pada sidang akhbar bersama Joko Widodo sempena lawatan kerja dua hari ke Malaysia, Anwar berkata, rundingan dua hala kedua-dua negara berlangsung dalam suasana sebagai sebuah keluarga dan sahabat sejati.
Menurutnya, perkara itu terbukti apabila persefahaman dan kerjasama dapat dicapai dalam masa yang singkat.
"Rakan sahabat sejati Presiden Indonesia Pak Jokowi.
"Saya tidak mahu anggap ini lawatan kerja biasa kerana saya anggap Jokowi dan rakan- rakan Indonesia sebagai rakan sejati serta rundingan kita sebagai keluarga dan sahabat," katanya yang disambut dengan tepukan gemuruh oleh kedua-dua wakil negara masing-masing.
Dalam pada itu, Anwar turut memuji Jokowi yang memilih untuk menyantuni rakyat di Chow Kit, Kampung Baru Kuala Lumpur di dalam jadual lawatan kerjanya.
"Acara presiden hari ini ini luar biasa, santai. Saya tanya mahu ke mana, Jokowi beritahu ingin ke Chow Kit, Kampung Baru.
"Itulah sosok Presiden Indonesia, selain ke istana petang ini, pilihannya masih ke medan rakyat di Kuala Lumpur.
"Bapak tetap keluarga dan sahabat, kami anggap jasa seperti mana terperosok di penjara dan keluar, Jokowi masih dianggap sahabat sejati," katanya.
Sementara, Jokowi dalam ucapannya turut menyifatkan Anwar sebagai sahabat baik.
"Rakan, sahabat baik saya Datuk Seri Anwar. Adalah menjadi kehormatan bagi saya dan delegasi berkunjung ke Malaysia bagi membalas kunjungan Anwar pada Januari lalu," katanya.
Terdahulu, Anwar dan Jokowi menyaksikan pertukaran enam instrumen perjanjian kedua-dua negara.
Ia melibatkan perjanjian mengenai rentas sempadan, perdagangan, kerjasama promosi pelaburan, pengiktirafan bersama pensijilan halal bagi produk domestik, perjanjian persempadanan laut di Selat Melaka serta Sulawesi.
Jokowi dan isterinya, Iriana serta delegasi memulakan lawatan kerja ke negara ini selama dua hari bermula Rabu.
Pada 2022, Indonesia merupakan rakan dagangan keenam terbesar Malaysia dan kedua terbesar ASEAN, dengan jumlah dagangan sebanyak RM130.14 bilion (AS$29.55 bilion), peningkatan sebanyak 36.5 peratus berbanding RM95.31 bilion (AS$22.98 bilion) pada 2021.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!