Anak Menteri Pendidikan peroleh 9A dalam SPM

Thurayya Fadhilah
Thurayya Fadhilah
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek meluangkan masa menemani anak sulung, Thurayya Fadhilah Mohd Fadzli, 18 mengambil keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada Khamis.

Fadhlina tiba di Sekolah Menengah Agama (SMA) Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan Bandar Sri Permaisuri Cheras di sini sekitar jam 10 pagi.

Beliau meluangkan masa lebih satu jam dengan duduk di kerusi bahagian ibu bapa sebelum meninggalkan lokasi jam 11.40 pagi.

Fadhlina turut mengambil peluang beramah mesra dengan pelajar cemerlang yang diraikan pada Pengumuman Keputusan Peperiksaan SPM peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Thurayya Fadhilah yang memperoleh 9A dalam SPM meluahkan rasa syukur dengan keputusan tersebut.

Dia merancang untuk menyambung pengajian dalam bidang Sains Kemanusiaan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) selepas ini.

Fadhlina memeluk anaknya yang mengambil keputusan SPM pada Khamis.
Fadhlina memeluk anaknya yang mengambil keputusan SPM pada Khamis.

"Sebagai anak Menteri Pendidikan dan anak sulung pula, saya akui tertekan kerana ramai pihak meletakkan harapan yang tinggi.

"Bagaimanapun mak saya sentiasa memberikan sokongan dan tidak kisah dengan apa juga keputusan yang diperoleh.

"Sambil peluk, mak saya ucapkan tahniah kepada saya," katanya pada Khamis.

Dalam pada itu, Thurayya Fadhilah turut merakamkan penghargaan kepada semua guru yang pernah mengajarnya dari sekolah rendah hingga ke sekolah menengah.

Dia turut berharap, kejayaan diperoleh itu menjadi suntikan semangat dan contoh buat empat adiknya yang lain untuk berjaya dalam akademik.

Thurayya Fadhilah ditemani ibu bapa mengambil keputusan SPM pada Khamis.
Thurayya Fadhilah ditemani ibu bapa mengambil keputusan SPM pada Khamis.

Dalam pada itu, memetik Bernama, Fadhlina turut mengucapkan tahniah kepada anak perempuannya selepas memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan SPM.

"Alhamdulillah lega habis, resah mak, saya ingat itu sebahagian daripada kenangan manis pada tahun ini dan saya juga ingin memberi keyakinan kepada ibu bapa semua anak-anak bersekolah aliran perdana Kementerian Pendidikan (KPM) boleh mencipta kejayaan dengan syarat memberi sokongan sepenuhnya.

"Sekolah aliran kerajaan telah membuktikan bahawa keputusan ini telah didukung oleh ekosistem yang baik, guru-guru yang cemerlang dan terlatih dan ini pastinya sebagai satu saranan kepada ibu bapa untuk meyakini kepada sekolah kerajaan," katanya ketika mengadakan lawatan di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Abdul Aziz Shah di sini hari ini.

Thurayya anak sulung daripada lima beradik sangat meminati mata pelajaran Matematik Tambahan dan menjadikan kaedah mengajar rakan-rakan sebagai langkah terbaik untuk mengulang kaji mata pelajaran tersebut.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Dr Zalina Mohd Tahir berkata, seramai 15,501 calon telah mendaftar SPM 2022 dan 15,102 daripadanya telah hadir dan menduduki peperiksaan di 154 pusat peperiksaan.

Katanya, pencapaian calon SPM 2022 di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur adalah lebih baik dengan Gred Purata Negeri (GPN) 4.75 berbanding 4.81 tahun lepas.

Selain itu katanya, 17 calon memperoleh A bagi semua mata pelajaran calon berbanding 11 orang tahun lepas.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!