ADUN, Penyelaras DUN jangan sekat penggunaan dewan
Kerajaan negeri konsisten keputusan benarkan penggunaan oleh semua pihak
IPOH - Semua ADUN kerajaan dan Penyelaras DUN di negeri ini diarah supaya tidak menyekat pihak pembangkang itu menggunakan dewan orang ramai.
Exco Kemudahan Awam, Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan Perak, Abdul Yunus Jamhari berkata, kerajaan negeri membenarkan semua pihak menggunakan dewan orang ramai termasuk pembangkang.
Menurutnya, secara dasar tiada sebarang halangan untuk menggunakan kemudahan itu asalkan bayaran sewa dibuat dan dijaga dengan baik.
"ADUN kerajaan dan Penyelaras DUN jangan sekat pembangkang guna dewan orang ramai untuk tujuan yang baik seperti program amal, jamuan raya, bersukan dan lain-lain tetapi kalau ceramah hentam kerajaan kita tidak benarkan.
"Kerajaan negeri juga tidak akan membenarkan lagi dewan orang ramai dijadikan markas pilihan raya atau mesyuarat parti termasuk di sekolah-sekolah serta memaksa penjawat awam hadir ke program yang berbaur politik dan kepartian," katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab tuduhan pembangkang yang tular bahawa Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu tidak menunaikan janji dibuat pada sidang DUN lalu apabila mendakwa kelulusan permohonan menggunakan Dewan Dato Zainal Abidin Zin, Bagan Serai ditarik pada saat akhir.
Dalam pada itu, Abdul Yunus menasihati pembangkang supaya tidak berselindung di sebalik penganjuran program ilmu untuk menyebar fitnah.
Menurutnya, perkara itu dibimbangi boleh menimbulkan perpecahan dalam masyarakat dengan mengundang tokoh-tokoh kontroversi dalam program mereka.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!