Politik profesional wajar dijadikan amalan
ALOR SETAR - Negara harus beralih kepada pendekatan politik profesional, selain kritikan bersifat membina, bukannya cenderung kepada menghina atau pemikiran negatif.
Penganalisis politik, Md Shukri Shuib berkata, respon pemimpin politik membabitkan isu dalam negara kini dilihat lebih cenderung kepada penghinaan dan cacian.
Menurutnya, anarki politik itu tidak boleh dibiarkan berterusan.
“Jika sesuatu perkara dibuat dengan baik dan dilaksanakan untuk manfaat rakyat, sokongan harus diberikan kepada kerajaan,” katanya, kepada Sinar Harian di sini hari ini.
Md Shukri berkata, Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dilihat mampu menjadi ikon tokoh politik yang terbuka serta profesional pendekatannya.
Khairy Jamaluddin mendakwa politik negara sangat toksik, ketika mengulas keadaan politik di Malaysia, pada program Bicara Minda Sinar Harian, Isnin lalu.
Meskipun mengakui bukan hanya Malaysia mengalami masalah itu, Khairy menyimpan hasrat untuk melihat rakyat negara ini mencapai tahap politik lebih matang.
Bekas Ketua Pemuda UMNO itu berkata, perlu ada situasi di mana BN dan PH bersetuju terhadap sesuatu isu dalam politik memandangkan PRU15 tidak akan berlaku dalam masa terdekat.
Tegas Khairy, sekiranya politik terlalu toksik, ia akan meruntuhkan sistem politik dalam negara.
Mengulas saranan Khairy Jamaluddin itu, Md Shukri berkata, pemikiran dibawa itu cenderung ke arah membina politik dan amalan demokrasi profesional.
“Kita harus galakkan orang politik dan rakyat terutamanya netizen agar lebih profesional menjiwai politik dengan ilmiah. Politik toksik harus dibendung dan diperangi semua tokoh politik,” katanya.
Menurutnya, malah parti politik juga harus mengingatkan penyokong agar berfikir dan bertindak secara matang.
“Sejak wujudnya internet dan akses kepada data, serta kebebasan meluas penggunaan alam maya, budaya politik telah wujudkan ramai pengulas politik tanpa batasan. Ia bersifat toksik seperti disebut Khairy Jamaluddin,” katanya.
Md Shukri berkata, kita perlu kembali kepada asas, iaitu bersikap profesional selain mempunyai nilai ilmiah dalam berpolitik dari segenap sudut.
“Demokrasi profesional dan ilmiah wajar dijadikan amalan semua pemimpin termasuk rakyat ketika berpolitik. Pencemaran politik akibat sengketa atau permusuhan perlu dihentikan, beri ruang kepada kritikan membina dan matang tanpa mengira unsur kepartian,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!