Hubungan akrab Malaysia, Indonesia noktahkan isu berlarutan

Anwar bersalaman dengan Jokowi selepas sidang media bersama di Kompleks Seri Perdana pada Khamis. - Foto Bernama
Anwar bersalaman dengan Jokowi selepas sidang media bersama di Kompleks Seri Perdana pada Khamis. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Hubungan akrab dan komitmen pemimpin Malaysia serta Indonesia telah menoktahkan pelbagai isu berlarutan sejak puluhan tahun lalu.

Peningkatan kerjasama dan persefahaman dalam masa singkat dengan Indonesia disifatkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai luar biasa.

"Kerjasama dua hala yang sampai ke tahap membanggakan ini bukan sahaja memberi manfaat dan faedah kepada kerajaan malah juga rakyat kedua-dua negara," katanya.

Beliau berkata, sewaktu pertemuan di Bogor, Joko Widodo atau dikenali sebagai Jokowi menyatakan rundingan yang puluhan tahun diadakan tidak dapat diselesaikan.

"Saya bangga dengan kepimpinan dan rakan-rakan hari ini yang dapat menyelesaikan isu puluhan tahun," katanya dalam sidang akhbar bersama Jokowi di Kompleks Seri Perdana pada Khamis.

Terdahulu, Anwar dan Jokowi menyaksikan pertukaran dokumen bagi enam instrumen yang dimeterai.

Ia melibatkan Perjanjian mengenai Rentas Sempadan, Perjanjian Perdagangan Sempadan, Kerjasama Promosi Pelaburan, Pengiktirafan Bersama Pensijilan Halal bagi Produk Domestik, Perjanjian Persempadanan Laut di Selat Melaka serta Sulawesi.

Dalam pada itu, Anwar berkata, kerjasama perdagangan dan pelaburan turut diberi tumpuan penting kedua-dua negara.

Ia terutama berkaitan pelaburan langsung asing (FDI) dan komitmen Malaysia menerusi Belanjawan Madani melalui peruntukan RM1 bilion untuk memperkukuh badan berkanun keselamatan di sempadan seperti Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Jabatan Imigresen Malaysia termasuk aspek prasarana berkaitan.

Selain itu, kata beliau, isu kepentingan kelapa sawit turut ditekankan dalam memelihara komoditi itu di peringkat antarabangsa.

Beliau berkata, kedua-dua negara menyambut baik dalam memelihara urusan perdagangan dan keputusan pelaburan kelapa sawit bukan sahaja syarikat besar malah untuk kepentingan pekebun kecil.

"Tahniah kepada kedua-dua menteri berkaitan kerana pertama kali satu suara Indonesia dan Malaysia menyuarakan untuk pertahankan kepentingan kelapa sawit.

"Isu-isu lain yang dirunding seperti isu sempadan jerebu, kerjasama peningkatan kebudayaan, pendidikan, bidang dakwah sederhana serta pemahaman Islam, bahkan di Indonesia boleh dimanfaatkan dan diteruskan kerana ini memberi makna persahabatan dan kerjasama yang akrab," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!