Pelajar istimewa peroleh 7A, 11A SPM

Nazim (tengah memegang kad 11A) bersama pelajar terlibat dalam majlis berkenaan.
Nazim (tengah memegang kad 11A) bersama pelajar terlibat dalam majlis berkenaan.
A
A
A

KUALA PILAH - Memiliki kekurangan bukan penghalang buat anak bongsu daripada dua beradik memperoleh 7A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Khor Wei Qian, 18 yang mengalami masalah pembelajaran mengakui sukar baginya untuk memberi fokus dalam setiap subjek, namun tetap berusaha supaya dirinya tidak ketinggalan.

"Abang saya juga seorang orang kurang upaya (OKU) tetapi dia turut membantu saya mengulang kaji pelajaran walaupun masing-masing mempunyai kekangan.

"Ibu dan ayah pula sanggup menghantar saya ke kelas tuisyen, dengan itu saya telah berjanji supaya usaha mereka ini tidak akan sia-sia," katanya yang merupakan bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chan Wa ll, Seremban.

Katanya, lebih meruntun jiwa apabila ibunya Lee Beng Eng, 48 disahkan menghidap kanser payudara sejak lima tahun lalu selain bapanya Khor Kook Eng, 55 juga berdepan dengan masalah kesihatan.

"Saya mahu mereka gembira dengan pencapaian saya walaupun saya akui keputusan ini tidaklah sehebat orang lain, tetapi ini adalah hadiah buat mereka," katanya yang bercita-cita menjadi seorang pendidik.

Wei Qian antara empat calon istimewa iaitu OKU yang memperoleh keputusan cemerlang dalam SPM 2022 yang ditemui pemberita semasa majlis pengumuman keputusan peperiksaan itu di SMK Tuanku Muhamad, Kuala Pilah pada Khamis.

Wei Qian (duduk kanan) bersama ibu dan ayahnya.
Wei Qian (duduk kanan) bersama ibu dan ayahnya.

Selain Wei Qian, tiga lagi pelajar cemerlang OKU di Negeri Sembilan itu merupakan Nazim Azman 11 A (Kolej Genius Insan), Muhammad Aiman Zakwan Ab Samad 7A (SMK King George V), masing-masing merupakan masalah pembelajaran manakala, Nur Farihah Aqilah Farizan mendapat keputusan 5A (SMK Kompleks KLIA) mengalami masalah kurang upaya pendengaran.

Nazim Azman,18 pula mengalami Attention Deficit Hyperactive Disorder (ADHD) atau Sindrom Kurang Daya Tumpuan dan Hiperaktif berjaya mendapat keputusan 11A.

Nazim bersekolah di Kolej Genius Insan, Universiti Sains Islam (USIM) Nilai dekat sini berasal dari Kepong, Kuala Lumpur itu sering mengamalkan bacaan al-Quran setiap hari sebelum memulakan sesi pembelajaran.

“Alhamdullilah hari ini saya tidak menjangkakan akan mendapat 11 A namun saya yakin dengan usaha saya termasuk guru dan rakan-rakan saya berjaya memperoleh keputusan cemerlang.

“Saya berhasrat untuk melanjutkan ke luar negara dan sedang memohon beberapa biasiswa penuh bagi melanjutkan pelajaran,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!