Jabatan Perikanan cadang wujud santuari di Kampar

Mohd Azlan (kiri) dan Albert melakukan gimik pelepasan benih ikan ke Sungai Kampar pada Khamis.
Mohd Azlan (kiri) dan Albert melakukan gimik pelepasan benih ikan ke Sungai Kampar pada Khamis.
A
A
A

KAMPAR - Jabatan Perikanan bercadang mewujudkan kemudahan santuari di Kampar bagi membantu menambah spesis ikan asli di kawasan itu.

Timbalan Pengarah Perikanan Perak, Albert Apollo Chan berkata, keperluan itu boleh dilaksanakan memandangkan daerah berkenaan mempunyai banyak sungai dan lombong dengan spesis bernilai tinggi seperti ikan baung, lampam dan jelawat.

Menurutnya, kewujudan santuari bukan sahaja dapat menjamin ikan tidak pupus, tetapi memberi manfaat ekonomi kepada komuniti setempat sebagai nelayan darat yang bergantung kepada hasil tangkapan.

"Perubahan iklim yang berlaku ketika ini secara tidak langsung mengancam spesis ikan. Oleh itu kita memerlukan satu daya tahan yang membolehkan populasi ikan ini dapat bertahan.

"Sekiranya santuari dapat diwujudkan, kita dapat beri perlindungan kepada spesis ikan yang ada sama seperti kita lakukan di Bukit Merah (spesies arowana), Sungai Tiang (kelah) dan di Benang Kering (lampam)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam program pelepasan ikan ke perairan umum daerah Kinta dan Kampar di Sungai Kampar dekat Kampung Kongsi Baru di sini pada Khamis.

Pelepasan sebanyak 31,000 benih ikan pelbagai spesis itu disempurnakan Exco Komunikasi, Multimedia dan NGO Perak, Mohd Azlan Helmi.

Sebanyak 31,000 benih ikan pelbagai spesis di Sungai Kampar dekat Kampung Kongsi Baru di sini pada Khamis.
Sebanyak 31,000 benih ikan pelbagai spesis di Sungai Kampar dekat Kampung Kongsi Baru di sini pada Khamis.

Albert berkata, bagi daerah Kampar, terdapat lebih 60 nelayan darat terbabit secara serius menangkap ikan di sungai dan lombong.

"Menerusi peruntukan kerajaan negeri, jabatan juga telah melaksanakan 10 projek perikanan bandar di sini sejak 2020 bagi menambah hasil tangkapan kalangan nelayan darat dan penduduk B40," katanya.

Sementara itu, Mohd Azlan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tualang Sekah berkata, inisiatif digerakkan Jabatan Perikanan itu selari dengan hasrat kerjaaan negeri dalam memastikan sekuriti makanan terus terjamin.

"Impak ekonomi secara langsung akan dinikmati kumpulan nelayan dan golongan sasar menerusi hasil tangkapan.

"Selain itu kita dapat mengupayakan kawasan Kampar ini sebagai lokasi tumpuan pemancing-pemancing luar," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!