Kekuatan Kedah jauh berbanding Perak - Yusri

Pemain Perak FC gagal menghalang Amirbek Juraboev menjaringkan gol pertama buat KDA FC di Stadium Darul Aman pada malam Rabu. FOTO KDA FC
Pemain Perak FC gagal menghalang Amirbek Juraboev menjaringkan gol pertama buat KDA FC di Stadium Darul Aman pada malam Rabu. FOTO KDA FC
A
A
A

PEMAIN import berkualiti dan pemain tempatan yang berpengalaman luas dimiliki Kedah Darul Aman (KDA) FC menjadi antara sebab Perak FC tumpas 0-3 pada aksi Liga Super 2023 di Stadium Darul Aman pada malam Rabu.

Pengendali sementara Perak FC, Yusri Che Lah mengakui hadir dengan corak permainan bertahan namun tetap bolos dengan jaringan besar kepada pasukan tuan rumah.

Menurutnya, taktikal tersebut terpaksa dilakukan oleh pasukan kejurulatihan selepas The Bos Gaurus tewas beberapa perlawanan sebelum ini selain terdapat pemainnya turut mengalami kecederaan serta digantung.

"Selepas beberapa perlawanan dengan keputusan tidak memihak kepada kami, kami hadir ke sini dengan corak bertahan dan itu realitinya. Kita tahu kekuatan pasukan Kedah terlalu jauh untuk dibandingkan dengan pasukan kami.

"Kami dibolosi pada babak pertama melalui hasil pergelutan yang kami pun kurang pasti dari mana punca jaringan itu terhasil dan apa yang cuba kami lakukan adalah cuba bangkit semula dengan aksi lebih baik pada babak kedua," katanya pada sidang akhbar di Stadium Darul Aman pada malam Rabu.

Jelas Yusri, kualiti yang dimiliki oleh pemain import dan tempatan KDA FC turut membantu pasukan tuan rumah untuk meraih tiga mata di laman mereka.

"Perak FC juga perlu diimbangi dengan kekuatan tenaga penyerang import kerana perkara ini dimiliki oleh hampir semua skuad Liga Super yang sedang beraksi.

"Liga kita ini memerlukan pemain import dan jika kita lihat pasukan Kedah jika beraksi dengan satu import sahaja maka keadaan perlawanan juga mungkin akan berubah," ujar beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!