Kelantan bentuk jawatankuasa khas selesai masalah air - Exco
KOTA BHARU - Kelantan akan membentuk satu jawatankuasa khas bagi menyelesaikan masalah air di negeri itu dalam masa terdekat, kata Exco Kerjaraya, Infrastruktur, Pengangkutan dan Utiliti negeri, Datuk Azami Mohd Nor.
Beliau berkata, pembentukan jawatankuasa itu adalah antara perkara yang dicapai dalam pertemuan kerajaan Kelantan dan kerajaan Persekutuan minggu lepas.
"Ia adalah permintaan Perdana Menteri bagi membincangkan kaedah pelaksanaan dan jumlah peruntukan tertentu secara lebih teliti untuk atasi masalah air di Kelantan.
"Kerajaan Persekutuan memberi tempoh seminggu untuk membentuk jawatankuasa ini. Kerajaan negeri belum membuat pembentukan itu... kemungkinan besar Menteri Besa, Datuk Ahmad Yakob akan umumkan siapa pengerusi dan ahli jawatankuasa itu selepas mesyuarat exco Rabu ini," katanya.
Azami berkata demikian kepada pemberita selepas melawat tapak pembinaan penggantian paip di Pasir Tumboh di sini hari ini yang turut dihadiri Pengurus Besar Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB), Dr Nazmi Ghazali Azmi.
Beliau juga berkata, perancangan untuk mengatasi masalah pembekalan air bersih di Kelantan melibatkan dua fasa dengan yang pertama pembinaan takungan air pinggiran sungai (TAPS) di Machang untuk jangka pendek yang sudah diluluskan sebanyak RM630 juta menerusi Rancangan Malaysia Ke-12.
Azami berkata, fasa pertama turut melibatkan pembinaan loji dan tangki agihan dengan kos RM1.5 bilion dan penggantian paip sepanjang 3,500 kilometer yang memerlukan peruntukan sebanyak RM1.7 bilion.
"Bagi fasa kedua pula, projek jangka panjang melibatkan pembinaan TAPS di kawasan lain termasuk Tumpat daripada baki peruntukan RM8 bilion yang dipohon oleh kerajaan negeri," katanya.
Beliau berkata, sejumlah 4,006 kilometer paip perlu diganti di seluruh Kelantan dan AKSB melalui kontraktor yang dilantik setakat ini telah menyiapkan kira-kira 412 kilometer.
Azami berkata, penggantian paip untuk baki 3,500 kilometer lagi dijangka mengambil masa agak lama kerana pelbagai prosedur perlu dilalui termasuk proses mendapatkan permit.
"Kita mungkin akan buat serentak... kita akan buat penukaran paip mengikut jajahan dan kita juga mungkin perlu melantik lebih banyak kontraktor bagi mempercepat proses penggantian ini," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!