'Terkilan tak sempat rai kejayaan bersama arwah bapa'

Nur Farah Melissa (kiri) bersama adiknya ketika menerima keputusan SPM di SMA Khairiah, di Kuala Terengganu pada Khamis.
Nur Farah Melissa (kiri) bersama adiknya ketika menerima keputusan SPM di SMA Khairiah, di Kuala Terengganu pada Khamis.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang pelajar yang memperoleh 8A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) terkilan kerana tidak sempat meraikan kejayaan bersama bapanya.

Pelajar Sekolah Menengah Agama (SMA) Khairiah, Nur Farah Melissa Mohd Shukri, 18, berkata, bapanya, Mohd Shukri Ismail, 57, meninggal dunia akibat komplikasi buah pinggang pada malam Rabu.

Katanya, arwah bapanya pernah menyuarakan hasrat untuk melihat dia naik ke pentas sebelum menghembuskan nafas terakhir di Hospital Sutanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini kira-kira jam 7 malam.

"Sebelum ini, ayah ada beritahu dan berjanji untuk naik pentas bersama saya. Dia berharap sangat dapat tengok saya naik pentas, malangnya hasrat itu tak kesampaian.

"Jadi, ini sahajalah yang saya mampu berikan sebab masa UPSR (Ujian Penilaian Sekolah Rendah) saya tak dapat 'straight A'. Ini hadiah untuk ayah," ujarnya yang ditemani adik lelaki ketika ditemui di SMA Khairiah pada Khamis.

Anak sulung daripada empat beradik itu mendapat A dalam subjek Bahasa Melayu, Sejarah, Matematik, Sains, Prinsip Perakaunan, Perniagaan, Usul Al-Din dan Al-Syariah.

Ditanya mengenai masalah kesihatan dialami ayahnya, Nur Farah Melissa berkata, ayahnya menghidap penyakit itu sejak penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu.

"Ayah mula kena penyakit buah pinggang ketika saya berusia 16 tahun. Waktu tu kita semua dalam tempoh PKP lagi.

"Tak sangka pula kesihatannya merudum dan meninggal dunia semalam," ujarnya.

Dalam pada itu, Nur Farah Melissa turut menyatakan hasrat untuk menyambung pelajaran ke luar negara dalam jurusan perakaunan.

Katanya, cita-cita itu juga didorong oleh arwah bapanya sebelum ini.

"Ayah harap sangat dapat tengok saya ke luar negara untuk sambung pelajaran. Saya harap saya dapat capai apa yang dia harapkan," ujarnya.

Allahyarham Mohd Shukri adalah seorang guru yang mengajar subjek Usul Al-Din di Sekolah Menengah Agama (SMA) (Atas) Sultan ZainaL Abidin (SMAASZA) sementara ibunya, Wan Zubaidah Wan Ahmad, 44, juga seorang guru yang mengajar subjek Prinsip Akaun di Sekolah Menengah (SM) Imtiaz Kuala Terengganu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!