Aaron-Wooi Yik sahkan slot suku akhir Terbuka Singapura 2023
[DIKEMAS KINI] BEREGU utama lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik tidak berdepan masalah menempah slot ke suku akhir Kejohanan Badminton Terbuka Singapura 2023 selepas menewaskan wakil Indonesia hari ini.
Pada perlawanan pusingan kedua berlangsung di Stadium Tertutup Singapura itu, Aaron-Wooi Yik, juga pilihan ketiga kejohanan, mengambil masa 38 minit untuk mencatat kemenangan straight set 21-18, 21-17 ke atas Muhammad Shohibul Fikri-Bagas Maulana.
Menanti gandingan negara itu di suku akhir membabitkan pasangan Indonesia, Leo Rolly Carnando-Daniel Marthin yang turut mara selepas menewaskan pasangan Korea Selatan, Kim Gi Jung-Kim Sa Rang, 21-14 dan 21-17.
Sementara itu, perjalanan satu lagi beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun, tersekat selepas tewas kepada wakil China, Liang Wei Keng-Wang Chang, dalam pertembungan tiga set.
Gandingan negara itu terlebih dahulu tewas set pertama 18-21 sebelum bangkit di set kedua 21-18, namun dinafikan kemaraan selepas tewas 13-21 di set penentuan.
Dalam pada itu, turut gagal mara ke suku akhir membabitkan perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong, yang tewas di tangan pemain Thailand, Kunlavut Vitidsarn juga pilihan ketujuh kejohanan, 18-21, 24-22 dan 13-21 dalam perlawanan 66 minit.
Dalam pada itu, beregu lelaki negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi, turut melagkah ke suku akhir selepas menumpaskan Pramudya Kusumawardana-Yeremia Rambitan dari Indonesia dengan keputusan 21-17, 21-18.
Beregu ranking ketujuh dunia itu akan berdepan dengan pasangan Korea Selatan, Choi Sol Gyu-Kim Won Hoa, esok.
Sementara itu, beregu campuran negara Chen Tang Jie-Teh Ee Wei juga meneruskan cabaran di peringkat suku akhir setelah menewaskan gandingan Belanda, Robin Tabeling-Selena Piek 21-17, 21-17 untuk menentang wakil Hong Kong, Reginald Lee Chun Hei- Ng Tsz Yau.
Pasangan Hong Kong itu, yang menghuni ranking ke-24 dunia, sebelum itu mengejutkan wakil negara, Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai, `4-21, 21-16, 21-9. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!