Keluarga minta Thaksin tangguh pulang ke Thailand
BANGKOK - Keluarga bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra menggesa beliau menangguhkan rancangan untuk kembali semula ke tanah air sehingga pembentukan kerajaan campuran.
Perkara itu dibincangkan ahli keluarganya termasuk anak bongsunya, Paetongtarn pada Rabu selepas beliau memaklumkan tentang hasrat tersebut menjelang Pilihan Raya Umum pada bulan lalu.
Jelas sumber rapat, Thaksin yang hidup di luar negara selama 17 tahun tidak sabar mahu pulang ke Bangkok pada bulan depan, namun keluarganya masih tidak pasti tentang perkara itu.
"Ia bergantung kepada situasi dan kesesuaian masa," kata Paetongtarn sambil menambah beliau tidak tahu-menahu tentang agensi yang akan bekerjasama untuk membuat persiapan untuk menyambut kepulangan bapanya.
Menurutnya, Thaksin bersedia menghadapi proses kehakiman berkaitan beberapa kes tidak kira siapa yang akan memegang kuasa.
Sebelum ini, Thaksin pernah dihukum penjara 12 tahun berhubung empat kes termasuk penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan.
Beliau digulingkan oleh kudeta pada 19 September 2006 ketika berada di luar negara dan pernah melakukan lawatan singkat ke tanah air pada 2008 ketika masih hidup dalam buangan. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!