Mhd Amin tekad cipta kejutan di APG Kemboja 2023

Mhd Amin membenam Freddy Setiawan, 21-12, 21-14 dalam acara perseorangan (SL4- kecacatan fizikal) pada Sukan Para Asean (APG) Kemboja 2023 pada Khamis.
Mhd Amin membenam Freddy Setiawan, 21-12, 21-14 dalam acara perseorangan (SL4- kecacatan fizikal) pada Sukan Para Asean (APG) Kemboja 2023 pada Khamis.
A
A
A

BERGELAR orang kurang upaya (OKU) fizikal tidak mematahkan semangat Mhd Amin Burhanuddin berkecimpung dalam dunia badminton pada usia 10 tahun sehingga ke peringkat antarabangsa hari ini.

Atlet berusia 31 tahun itu berkata, kecacatan kaki kanan sejak lahir yang dinamakan sebagai 'right ciev with surgical intervention/SL4' sehingga perlu menjalani pembedahan semasa dilahirkan menyebabkan dia terpaksa menggunakan bantuan tongkat sehingga berusia tujuh tahun.

Selang dua tahun kemudian setelah simen di kaki kanan Mhd Amin dibuka, barulah dia boleh menyeimbangkan badan tanpa bantuan alatan untuk bergerak secara bebas di kawasan perumahannya di Labuan.

“Keluarga saya memang minat badminton, jadi timbul minat untuk saya turut serta.

“Hanya pada usia 10 tahun saya mula memegang raket apabila sudah mendapat keseimbangan badan setelah membuka simen di kaki kanan dan mula mengikut ahli keluarga pergi ke dewan berdekatan untuk beriadah,” katanya yang yang merupakan anak keempat daripada enam adik beradik.

Bagaimanapun Mhd Amin berkata, pengetahuan yang kurang mengenai penjelasan laporan cara menjadi atlet para menyebabkan dia mula bermain di pentas antarabangsa ketika berusia 14 tahun.

Enggan menoleh ke belakang, Mhd Amin berkata, abang keduanya, Sahbudin Burhanuddin,40, adalah insan yang sentiasa menyokongnya untuk terlibat secara aktif dalam sukan itu apabila mula diserap dalam program para negara tahun lepas.

“Masa saya sudah masuk gelanggang ada seorang doktor yang tegur saya berbakat dalam badminton. Jadi dia yang suruh pergi dan beritahu cara buat klarifikasi (penjelasan laporan) di hospital.

“Pada mulanya saya hanya berlatih dengan keluarga terutamanya abang kedua. Kalau saya malas, mesti dia tetap suruh saya pergi,” katanya.

Mhd Amin yang sekadar meraih pingat gangsa pada edisi lalu di Solo, Indonesia kini hanya selangkah lagi membalas dendam untuk meraih pingat emas menerusi acara final perseorangan (SL4- kecacatan fizikal) pada Sukan Para Asean (APG) Kemboja 2023, pada Jumaat.

Pemain yang berada dalam ranking ke-20 dunia itu membenam Freddy Setiawan dari Indonesia menerusi permainan straight set 21-12 dan 21-14 pada aksi separuh akhir.

Mhd Amin seterusnya akan bertemu pemain Indonesia Hikmat Ramdani pada aksi final perseorangan SL4.

Menyentuh mengenai saingannya, Mhd Amin berkata, dia sudah bersedia dari segi fizikal dan mental untuk melakar kejutan terhadap pemain pilihan kedua kejohanan itu.

“Dari segi atas kertas memang jauh dan ketinggalan dengan (Hikmat) namun saya tetap akan cuba yang terbaik,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!