PRN: Tengku Zafrul serah kepada pucuk pimpinan parti

Tengku Zafrul
Tengku Zafrul
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menyerahkan kepada pucuk pimpinan parti untuk menentukan sama ada dirinya tercalon atau sebaliknya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

Jelasnya, sebagai ahli UMNO, beliau akur dengan apa sahaja keputusan yang akan dibuat oleh parti.

“Bagi saya kuasa untuk menjadi calon atau bertanding ini tertakluk kepada pucuk pimpinan parti.

“Apa sahaja keputusan dibuat (sama ada) bertanding atau tidak bertanding, saya serah kepada pucuk pimpinan kebijaksanaan pucuk pimpinan.

“Kalau suruh bertanding kita bertanding, kalau tidak bertanding pun tidak mengapa, yang penting saya adalah orang parti dan saya akan akur dengan keputusan parti,” katanya ketika melawat Laman Media Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini, pada Khamis.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan dirinya bakal bertanding di kerusi Sungai Kandis, Selangor pada PRN tidak lama lagi.

Ujar Tengku Zafrul lagi, buat masa ini dirinya belum dimaklumkan mengenai sebarang keputusan parti mengenai calon PRN.

Sementara itu, ditanya mengenai syor Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar supaya dirinya dilantik sebagai Menteri Besar Selangor jika Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) memenangi negeri itu, Tengku Zafrul menyifatkan ia pandangan peribadi bekas Ahli Parlimen Rembau tersebut.

“Itu pendapat peribadi KJ (Khairy) tapi bagi saya kuasa untuk menjadi calon atau bertanding ini tertakluk kepada pucuk pimpinan.

“Jadi, saya serah kepada pucuk pimpinan untuk membuat ketetapan,” katanya.

Khairy Jamaluddin atau lebih mesra disapa KJ sebelum ini mencadangkan supaya Tengku Zafrul dilantik sebagai Menteri Besar Selangor jika Kerajaan Perpaduan menang di negeri terkaya tersebut.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!