Bukan rekahan, jambatan Bagan Datuk selamat digunakan

Keadaan yang didakwa sebagai rekahan di laluan Jambatan Bagan Datuk-Sejagop.
Keadaan yang didakwa sebagai rekahan di laluan Jambatan Bagan Datuk-Sejagop.
A
A
A

IPOH - Jabatan Kerja Raya (JKR) menafikan berlakunya kerosakan laluan di Jambatan Bagan Datuk-Sejagop yang baru dibuka kepada orang ramai minggu lalu sepertimana tular di media sosial.

Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, dakwaan berlakunya rekahan kononnya akibat menggunakan plastik murahan sama sekali tidak benar.

Menurutnya, rekahan yang dikatakan itu sebenarnya adalah direka bentuk bagi proses pengembangan dan penguncupan konkrit.

"Pada waktu video direkodkan, bahan tersebut belum lagi dipasang.

"Gambar-gambar yang dipaparkan dalam video tersebut juga adalah bukan di bawah seliaan JKR," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.

Beliau berkata, JKR sentiasa terbuka untuk bekerjasama dan menyalurkan maklumat tepat serta sahih mengenai perkembangan jambatan itu.

"Kerjasama semua pihak amat diharapkan ke arah memastikan aset infrastruktur negara dapat diuruskan dengan optimum," katanya.

Rakaman video berdurasi 26 saat itu menunjukkan berlaku rekahan di struktur jambatan menyebabkan di satu bahagian, Sungai Perak yang berada di bawahnya dapat dilihat.

Jambatan Bagan Datuk-Sejagop telah dibuka kepada umum pada 31 Mei lalu.

Kemudahan baharu itu dibina merentasi Sungai Perak sepanjang 1.5 kilometer dengan reka bentuknya mengambil kira ruang utiliti seperti paip air Lembaga Air Perak (LAP) bagi bekalan air ke Bagan Datuk.

Sebelum ini pengguna jalan raya dari Sitiawan perlu melalui Jalan Hutan Melintang ke Bagan Datuk yang mengambil masa lebih satu jam dengan jarak perjalanan melebihi 50 kilometer.

Namun dengan pembinaan jambatan itu dapat memendekkan perjalanan ke 15 minit sahaja melalui jarak hanya 10.5 kilometer.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!