Zii Jia akui masalah prestasi tak menentu

Zii Jia
Zii Jia
A
A
A

JAGUH perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia mengakui dia kini berdepan prestasi tidak menentu sehingga gagal mencetuskan impak positif di pentas antarabangsa.

Terbaharu, Zii Jia yang juga juara Asia tersingkir seawal pusingan pertama Terbuka Singapura 2023 sekali gus meneruskan rentak sumbangnya tahun ini.

“Ya kalah lagi. Ini yang terbaik saya dapat lakukan dan inilah keputusannya, jadi saya perlu menerimanya. Kadang-kadang saya bermain sangat baik tetapi kadang-kadang beraksi terlalu buruk, ini masalah saya.

“Saya perlu fikir dengan lebih baik. Buat masa ini ia terlalu banyak bagi saya, jadi saya perlu lebih tenang,” katanya di Stadium Tertutup Singapura pada Rabu.

Zii Jia yang kini menduduki ranking ke-10 dunia ditunjukkan jalan keluar apabila tewas kepada pemain China, Weng Hong Yang 20-22, 21-16, 19-21 dalam masa 74 minit.

Cabaran seterusnya Zii Jia adalah Terbuka Indonesia 2023 yang menyingkap tirainya dari 13 hingga 18 Jun ini apabila dia diundi berdepan pemain sensasi India, Lakhsya Sen di pusingan pertama.

Dalam pada itu, juara dunia yang juga beregu utama lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik meneruskan kemaraan ke suku akhir Terbuka Singapura 2023 apabila mengalahkan gandingan Indonesia, Shohibul Fikri-Bagas Maulana 21-18, 21-17.

Bagaimanapun, pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong terpaksa akur dengan pengalaman pemain handalan Thailand, Kunlavut Vitidsarn apabila tewas 21-18, 22-24, 21-13.

Turut tersingkir beregu campuran negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai yang gagal meneruskan kemaraan apabila tewas 21-14, 16-21, 9-21 kepada wakil Hong Kong, Reginald Lee-Ng Tsz Yau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!